KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Keningau merangkap ADUN Tambunan, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Sabah (SAMA), sebuah agensi baharu di bawah Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI).
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar menyampaikan watikah pelantikan kepada beliau bersama ahli-ahli jemaah pengarah SAMA dalam satu majlis yang diadakan di Wisma Pertanian, di sini, pagi tadi.
Jamawi berkata, pelantikan Dr. Jeffrey yang merupakan mantan Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan diyakini mampu memacu peranan SAMA sebagai pemangkin utama pemasaran hasil agromakanan negeri.
“Saya yakin dengan pengalaman dan kepimpinan beliau, SAMA akan dapat memperkukuh rantaian pemasaran serta membuka lebih banyak peluang kepada produk pertanian, perikanan dan industri makanan Sabah menembusi pasaran lebih luas, termasuk ke peringkat eksport,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
SAMA ditubuhkan sebagai platform strategik untuk membantu memasarkan produk pertanian, perikanan, ternakan dan industri makanan Sabah ke pasaran tempatan mahupun antarabangsa.
Selain itu, agensi berkenaan turut berperanan meningkatkan nilai tambah produk melalui aktiviti hiliran sekali gus memperluaskan rantaian bekalan industri agromakanan negeri.
Pelantikan Dr Jeffrey dilihat selari dengan usaha Kerajaan Negeri memperkukuh sektor pertanian sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi Sabah.
Penubuhan SAMA juga dijangka memberi impak positif kepada golongan petani, penternak dan nelayan dengan membuka lebih banyak peluang pasaran serta meningkatkan pendapatan mereka.
Kerajaan Negeri optimis agensi baharu itu mampu menjadi pemangkin kepada transformasi sektor agromakanan Sabah ke arah lebih berdaya saing dan mampan.
Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Jumain Abdul Ghani serta Pegawai- pegawai Kementerian.






