Polis Marin Tawau Berjaya Tangkap Pengedar Dadah Warganegara Indonesia

Polis Marin Tawau Berjaya Tangkap Pengedar Dadah Warganegara Indonesia

0
SHARE

TAWAU, SABAH – Polis Marin Tawau berjaya menangkap seorang lelaki warganegara Indonesia dan merampas sejumlah dadah seberat 130 gram beserta sebuah bot dan enjin di kawasan Kuala Sungai Tawau awal hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 pagi itu, anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik sedang membuat pemantauan risikan di kawasan terbabit dan mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, DSP Mohd Nazari Ismail berkata dua orang saspek telah cuba melarikan diri setelah anggota memperkenalkan diri mereka sebagai polis.

“Namun seorang lelaki berumur 28 tahun dapat ditahan dan seorang lagi suspek berjaya meloloskan diri…

“Pemeriksaan lanjut di dalam sebuah beg silang yang dipakai suspek telah menemui dadah disyaki jenis syabu.

“Tangkapan dan rampasan dianggarkan bernilai RM59,080.00,” katanya.

Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tawau atas kesalahan seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tambahnya lagi, Pasukan Polis Marin Tawau amat mengalu-alukan masyarakat agar menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang di kawasan mereka melalui aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah di talian 013-2831197.