KOTA KINABALU: Aktiviti sukan tradisi seperti melastik dan menyumpit menjadi antara pengisian utama dalam Program Bersama Rakyat: Riadah Perpaduan bersama Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, pagi ini.
Semalam, Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan hadir meninjau perjalanan raptai secara terperinci bagi memastikan setiap komponen program berada pada tahap kesiapsiagaan optimum.
Raptai berkenaan turut melibatkan penyertaan dalam aktiviti riadah bersama rakyat termasuk sesi senamrobik, pemanasan badan serta permainan tradisional lain seperti memanah, selain penglibatan langsung TYT dalam beberapa aktiviti yang disusun.
Turut hadir, Setiausaha Tetap kementerian, Datuk Mansur Asun; Timbalan Setiausaha Tetap (Kemajuan Sukan), Adanan @ Adnan Atin; serta Pengurus Besar Lembaga Sukan Sabah, Terrance Edward Puddin bersama pegawai-pegawai kementerian dan agensi terlibat.
Selain aktiviti riadah, raptai turut merangkumi pelaksanaan penuh atur cara termasuk lawatan ke tapak pameran agensi, acara simbolik pemotongan kek sempena ulang tahun kelahiran rasmi, penyampaian cenderahati serta jamuan kepada para jemputan.
Pelaksanaan raptai ini bertujuan memperincikan aspek teknikal dan logistik selain memastikan kelancaran keseluruhan program yang dijangka menghimpunkan rakyat dalam suasana harmoni, inklusif dan bersemangat perpaduan.
Program tersebut dilihat sebagai wadah strategik dalam memperkukuh hubungan antara pemimpin dan rakyat, di samping menyemarakkan amalan gaya hidup sihat serta memperkasa semangat kebersamaan selaras dengan aspirasi pembangunan negeri Sabah.






