Dua Penunggang Motosikal Maut Dalam Nahas Awal Pagi di Jalan UMS

Dua Penunggang Motosikal Maut Dalam Nahas Awal Pagi di Jalan UMS

0
SHARE

KOTA KINABALU: Dua penunggang motosikal maut dalam kemalangan awal pagi di Jalan UMS berhampiran Mini Putrajaya, pada Isnin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, laporan kejadian diterima kira-kira jam 4.40 pagi.

“Siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan sebuah Proton Saga yang dipandu lelaki tempatan berusia 27 tahun dan sebuah motosikal Yamaha Y15 yang dinaiki dua individu.

“Kenderaan itu bergerak dari arah Sepanggar menuju ke Alam Mesra dan telah membuat pusingan U di lampu isyarat Mini Putrajaya sebelum meneruskan perjalanan di lorong tengah.

“Sebuah motosikal yang datang dari arah sama dipercayai gagal mengelak lalu melanggar bahagian belakang kenderaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal terjatuh di lorong tengah jalan manakala pembonceng tercampak ke bahu kiri jalan.

Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth II.

Identiti mangsa masih belum dikenal pasti kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui, dan usaha mengesan waris sedang giat dijalankan.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk tindakan lanjut.

Pemandu kereta tidak mengalami kecederaan, manakala kedua-dua kenderaan telah ditahan bagi tujuan pemeriksaan lanjut oleh polis dan agensi berkaitan.

Polis menasihatkan pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan lalu lintas, memandu secara berhemah serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik bagi mengelakkan kemalangan.

Penunggang motosikal turut diingatkan agar tidak menunggang secara berbahaya atau berkumpulan pada kelajuan tinggi yang boleh meningkatkan risiko kemalangan.