Seludup Petrol, Minyak Paket & Gula Digagalkan, Rampasan Hampir RM15,000 di Kudat

Seludup Petrol, Minyak Paket & Gula Digagalkan, Rampasan Hampir RM15,000 di Kudat

0
SHARE

KUDAT: Cubaan menyeludup petrol, minyak masak paket dan gula berjaya digagalkan Pasukan Polis Marin Wilayah Empat dalam satu operasi baru-baru ini di muara Sungai Kampung Kimihang, dengan nilai rampasan dianggarkan hampir RM15,000.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun ditahan ketika berada di dalam sebuah pumpboat tanpa nombor pendaftaran bersama sejumlah barang kawalan tanpa dokumen atau kebenaran sah.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Kudat, Nazatul Shima Karim berkata, pemeriksaan lanjut mendapati suspek dipercayai pemilik bot yang membawa pelbagai barang kawalan dalam kuantiti besar.

Rampasan melibatkan kira-kira 1,400 liter petrol dalam tujuh tong drum, 408 kilogram minyak masak paket serta 168 kilogram gula pasir kasar,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, turut dirampas tiga unit enjin pumpboat yang disyaki digunakan bagi menjalankan aktiviti penyelewengan tersebut, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM14,876.80.

Menurutnya, kes berkenaan telah diserahkan kepada KPDN untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Nazatul turut merakamkan penghargaan kepada Pasukan Polis Marin Wilayah Empat atas kerjasama strategik dan tindakan proaktif dalam membanteras kegiatan penyelewengan barang kawalan di perairan Kudat.

“KPDN akan terus memperkukuh penguatkuasaan bagi memastikan bekalan barang kawalan kekal terjamin dan sampai kepada golongan sasaran, khususnya dalam mendepani cabaran ketidaktentuan ekonomi serta krisis tenaga global,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan melalui saluran rasmi KPDN termasuk WhatsApp Aduan, portal e-aduan, talian pusat panggilan dan aplikasi Ez ADU KPDN.