LAHAD DATU: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dilaporkan hilang selepas dipercayai dibaham buaya ketika mandi di pesisir pantai di Jalan Felda Sahabat 16, Desa Kencana, di sini, pada Ahad lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa dikatakan sedang melakukan aktiviti mandi-manda sebelum disambar reptilia berkenaan dan diseret ke dalam laut.
Menurut Pemangku Ketua Balai BBP Lahad Datu, Mohd Hamka Mustamin, pihak bomba menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 10.27 pagi sebelum pasukan digerakkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan Bomba telah digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan dan operasi mencari serta menyelamat (SAR) terus dilaksanakan dengan kerjasama agensi lain,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Operasi SAR yang memasuki hari kedua semalam dimulakan seawal jam 9.55 pagi selepas taklimat bersama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), dengan pencarian dijalankan menggunakan bot bomba di sepanjang pesisir laut dalam radius lima kilometer dari lokasi mangsa dipercayai diserang.
Operasi berkenaan melibatkan empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu dengan kekuatan satu jentera EMRS, selain dibantu tujuh anggota PDRM, tujuh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta empat anggota Jabatan Hidupan Liar.
Bagaimanapun, operasi yang ditangguhkan pada jam 5.15 petang itu masih belum menemui mangsa dan akan disambung semula hari berikutnya, iaitu hari ini.
“Setakat ini mangsa masih belum ditemui dan operasi akan diteruskan dengan pemantauan rapi di kawasan berisiko,” katanya.
Pihak berkuasa turut memaklumkan bahawa perkembangan operasi akan dikemas kini dari semasa ke semasa.






