Keputusan Isu 40 Peratus Perlu Dimuktamad Segera – Masiung

Keputusan Isu 40 Peratus Perlu Dimuktamad Segera – Masiung

0
SHARE

KOTA KINABALU: Satu keputusan muktamad berhubung tuntutan pemberian khas Sabah sebanyak 40 peratus perlu dibuat segera tanpa terus dilengah-lengahkan melalui perbincangan berpanjangan atau proses mahkamah.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Sabah, Datuk Masiung Banah menegaskan, ketetapan itu penting bagi menamatkan spekulasi berterusan yang menjadi polemik antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

“Keputusan perlu dibuat bagi menamatkan perbincangan yang tertunggak tanpa mencapai kata sepakat berhubung isu tuntutan hasil Sabah 40 peratus di bawah MA63,” katanya.

Beliau berkata demikian susulan resolusi yang dicapai dalam Sesi Libat Urus Eksekutif anjuran BBC bersama Pejabat Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Isnin.

Sesi berkenaan melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan, Ahli Parlimen Sabah serta pegawai kanan kerajaan bagi membincangkan isu-isu utama negeri.

Menurut Masiung, resolusi itu akan dibawa ke Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) untuk dirangka sebagai tindakan susulan.

Beliau berkata, pasukan perunding Sabah optimis jawatankuasa berkenaan yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Amar Fadillah Yusof mampu mencapai penyelesaian secara menang-menang.

Masiung yang juga Pengerusi Kumpulan Sedco menegaskan, MTPMA63 yang dianggotai pemimpin serta pegawai kanan kerajaan negeri dan Persekutuan perlu menghormati resolusi yang dicapai dalam sesi tersebut.

Selain isu tuntutan 40 peratus, sesi libat urus itu turut membincangkan perkara lain termasuk isu penduduk asing bukan warganegara di Sabah serta kenaikan tarif elektrik.

Lima panel jemputan turut membentangkan tiga isu utama negeri, termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, selain wakil daripada Jabatan Imigresen Sabah, Jabatan Perangkaan Malaysia dan Jabatan Ketua Menteri Sabah.