Program Gotong-Royong Bulanan Perkasa Peranan JKKK di Lumadan Tingkat Kesejahteraan Kampung

Program Gotong-Royong Bulanan Perkasa Peranan JKKK di Lumadan Tingkat Kesejahteraan Kampung

0
SHARE

BEAUFORT: Program gotong-royong bulanan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi kawasan N.34 Lumadan terus diperkasa sebagai inisiatif meningkatkan kesejahteraan serta keceriaan kampung.

Majlis pelancaran program itu diadakan di Kampung Suasa melibatkan tiga JKKK Mukim 5 iaitu Kampung Keramis, Kampung Suasa dan Kampung Lalangut dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N.34 Lumadan baru-baru ini.

Program berkenaan telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan merangkap Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Ruslan Muharam.

Turut hadir, Pegawai Daerah Beaufort, Nazri Ajun serta Abdul Sani, Pengerusi Sukarelawan DMM Bersamamu yang mewakili Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah, selain pemimpin-pemimpin kampung.

Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuk membersihkan rumah warga emas, menampal jalan berlubang, menyelenggara parit, membina culvert serta mengecat bangunan dewan.

Dalam ucapannya, Ruslan berkata pelaksanaan gotong-royong secara bulanan mampu memastikan JKKK sentiasa aktif serta memainkan peranan penting dalam menyelesaikan isu setempat.

“Melalui program ini, kita dapat menangani masalah seperti jalan berlubang, keadaan rumah warga emas serta penyelenggaraan parit yang menakung air. Pada masa sama, ia membuktikan JKKK sentiasa bergerak dan wujud dalam masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, program berterusan itu juga dapat menceriakan kampung selain mewujudkan persekitaran yang lebih bersih dan selesa kepada penduduk.

“Apabila kampung kita cantik dan terurus, sudah tentu ia memberi keselesaan kepada penduduk, malah mampu menarik kehadiran orang luar dan pelancong untuk berkunjung,” ujarnya.

Tambahnya, pelaksanaan program setiap bulan turut membuka ruang perbincangan dalam kalangan JKKK bagi merancang serta menyelesaikan isu kampung secara lebih berkesan.