Jangan Kelirukan Rakyat Tentang Tuntutan Hak 40 Peratus – Madius

Jangan Kelirukan Rakyat Tentang Tuntutan Hak 40 Peratus – Madius

0
SHARE

TAMPARULI: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Wilfred Madius Tangau menegaskan bahawa cadangan untuk mengutamakan penyelesaian isu prasarana kesihatan dan pendidikan berbanding tuntutan Hak 40 peratus Sabah adalah tidak wajar serta boleh mengelirukan rakyat.

Beliau berkata, sektor kesihatan dan pendidikan merupakan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan seperti yang diperuntukkan di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, termasuk isu sekolah daif, kemudahan klinik dan hospital uzur serta pembangunan institusi pendidikan awam di negeri ini.

Menurutnya, hasil 40 peratus yang dituntut Sabah seharusnya dimanfaatkan untuk memperkukuh bidang di bawah bidang kuasa kerajaan negeri seperti bekalan air, tenaga elektrik, pelabuhan, pertanian, jalan raya negeri, pentadbiran tanah serta pembangunan luar bandar.

“Cadangan supaya hasil 40 peratus digunakan untuk menampung tanggungjawab Persekutuan hanya akan mengelirukan rakyat mengenai tujuan sebenar tuntutan ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Madius yang juga ADUN Tamparuli menjelaskan, kekangan kewangan sejak sekian lama telah memaksa Sabah meminjam daripada Kerajaan Persekutuan dengan kadar empat peratus bagi melaksanakan pelbagai projek asas negeri.

Antara projek terlibat termasuk pembinaan loji rawatan air, naik taraf Pelabuhan Sepanggar, peningkatan infrastruktur bekalan elektrik serta pembangunan jalan raya dan sistem perparitan di kawasan perindustrian seperti Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), POIC Lahad Datu dan Sipitang Oil and Gas Industrial Park (SOGIP).

Beliau turut mendedahkan bahawa sektor elektrik sahaja melibatkan pinjaman hampir RM3 bilion, manakala projek naik taraf Pelabuhan Sepanggar melebihi RM2 bilion, selain keperluan pembiayaan besar bagi projek loji air dan penyukatan tanah.

Katanya, isu penyukatan tanah yang masih tertangguh di banyak kawasan juga berpunca daripada kekangan kewangan serta kekurangan tenaga kerja, sehingga kerajaan negeri terpaksa mendapatkan bantuan melalui program PANTAS.

Dalam pada itu, Madius mengingatkan rakyat Sabah agar mengambil iktibar daripada keputusan lampau yang memberi kesan besar kepada negeri, termasuk penyerahan Labuan kepada Kerajaan Persekutuan tanpa pampasan, selain kira-kira 300,000 ekar tanah di Lahad Datu dan Tawau yang diserahkan kepada FELDA.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa rakyat Sabah berhak memahami isu tuntutan Hak 40 peratus berdasarkan fakta yang tepat, dan tidak terpengaruh dengan cadangan yang boleh menimbulkan salah faham.

“Mari kita bersama-sama menyokong usaha Kerajaan Negeri dalam menuntut pelaksanaan Hak 40 peratus ini dengan segera seperti yang telah diperintahkan mahkamah,” katanya.