Dua Maut, Satu Cedera Dalam Kemalangan Axia Bertembung Saga di Jalan Kimanis-Keningau

Dua Maut, Satu Cedera Dalam Kemalangan Axia Bertembung Saga di Jalan Kimanis-Keningau

0
SHARE

KIMANIS: Dua lelaki maut manakala seorang wanita cedera selepas sebuah Perodua Axia bertembung dengan Proton Saga dalam kemalangan di Jalan Bukit Kimanis–Keningau, di sini, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, PPgB Nelson Ponji berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.34 pagi sebelum tujuh anggota bersama dua jentera digerakkan ke lokasi sejauh 25 kilometer.

Menurut beliau, setibanya di lokasi pada jam 11.59 pagi, didapati kedua-dua pemandu kenderaan tersebut tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.

“Pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas ‘rescue tools’, namun kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, seorang lagi mangsa wanita berusia 52 tahun yang berada di dalam Perodua Axia mengalami kecederaan dan telah dihantar ke hospital menaiki ambulans KKM untuk menerima rawatan lanjut.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai lelaki berusia 61 tahun yang memandu Perodua Axia dan seorang lagi lelaki berusia 35 tahun yang memandu Proton Saga.

Menurut Nelson, mayat kedua-dua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Operasi yang turut melibatkan empat anggota PDRM dan tiga petugas KKM berjaya dikawal pada jam 12.20 tengah hari sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.30 tengah hari selepas tiada lagi risiko di lokasi.