SK Bundung Terima Peruntukan RM200,000

SK Bundung Terima Peruntukan RM200,000

0
SHARE
Hajiji
Hajiji (depan, tengah) bergambar kenangan bersama warga SK Bundung Tuaran ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

TUARAN, SABAH – Sekolah Kebangsaan (SK) Bundung menerima peruntukan sebanyak RM200 ribu bagi memperbaiki beberapa kemudahan di sekolah yang telah berusia 60 tahun tersebut.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata kerajaan negeri memberi keutamaan kepada aspek pendidikan untuk melahirkan modal insan yang berdaya saing, berkemahiran dan berkualiti tinggi.

“Komitmen kerajaan seiring dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menjadikan Pembangunan Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat sebagai teras kedua pelan berkenaan.

“Banyak inisiatif diperkenalkan dan diberikan kepada pelajar negeri ini dari peringkat sekolah rendah, menengah hingga ke institut pengajian tinggi (IPT) untuk memastikan mereka dapat meneruskan pembelajaran hingga ke tahap lebih tinggi.

“Kerajaan mahu memastikan anak-anak sama ada berada di bandar atau luar bandar negeri ini mendapat kesamarataan akses pendidikan yang sempurna dengan keadaan sekolah yang baik dan selesa,” katanya pada Majlis Sambutan Jubli Intan 60 Tahun Sekolah Kebangsaan (SK) Bundung, di sini pada Selasa.

Hajiji juga memaklumkan kerajaan negeri terus memperkukuhkan lagi pembangunan modal insan dengan penyediaan peruntukan sebanyak RM474.55 juta pada tahun depan untuk melaksanakan pelbagai program antaranya berkaitan pendidikan dan latihan.

“Semua inisiatif itu semata-mata untuk membantu dan memastikan kecemerlangan anak-anak dalam pendidikan, kerana mereka merupakan modal insan yang penting dan amat diperlukan untuk membawa negeri ini ke tahap yang lebih membangun,” ujarnya.

Mengulas tentang rombakan kabinet, Hajiji mengalu-alukan dan menyatakan sokongannya kepada setiap keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kerajaan negeri akan memberikan sokongan kepada setiap keputusan yang dilakukan kerana tujuannya adalah untuk kebaikan dan perjalanan pentadbiran kerajaan MADANI,” tambahnya.

Beliau turut yakin menteri daripada negeri Sabah yang dilantik akan dapat menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim, Ketua Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah, Indang Kasi Sibin dan Guru Besar SK Bundung, Grace Subramaniam. — JABATAN PENERANGAN SABAH