Calon BERSATU Sabah Guna Logo GRS Dalam PRU-15

Calon BERSATU Sabah Guna Logo GRS Dalam PRU-15

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Calon Pilihan Raya Umum (PRU) 15 dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah bakal menggunakan logo Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kemenangan calon terbabit akan dikira sebagai kemenangan parti terbabit walaupun menggunakan logo GRS.

Menurutnya, ini berikutan BERSATU juga merupakan sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN).

“Itu persefahaman yang sudah dicapai, tiada isu atau masalah dalam soal itu. Situasi agak luar biasa di Sabah yang terbentuk kerajaan negeri hasil persefahaman parti-parti walaupun peringkat Persekutuan tidak sehaluan…

“Di sini, keadaan istimewa. Kami menerima perbezaan di Sabah,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin turut berkata pihaknya menyerahkan sepenuhnya perkara terbabit Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor bagi mencapai kata sepakat demi kepentingan rakyat dan parti.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi mesyuarat dengan Badan Pimpinan BERSATU Sabah di Pejabat BERSATU Sabah, di sini, malam tadi.

Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mengadakan pertemuan dengan Badan PimpinanBersatu Sabah di Pejabat Bersatu Sabah, Alamesra, Kota Kinabalu malam tadi…

Turut hadir, Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.