Ewon Tidak Setuju Kenyataan Harris Salleh “Lebih Baik Tidak Bubut 40 Peratus”

Ewon Tidak Setuju Kenyataan Harris Salleh “Lebih Baik Tidak Bubut 40 Peratus”

0
SHARE

KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick menegaskan beliau tidak bersetuju dengan pandangan mantan Ketua Menteri, Tan Sri Harris Salleh yang menyatakan adalah lebih baik untuk tidak menuntut pembayaran 40 peratus hasil negeri.

Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, hak 40 peratus merupakan perkara asas yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan menjadi antara syarat utama Sabah menyertai pembentukan Malaysia pada tahun 1963.

“Saya telah membaca kenyataan mantan Ketua Menteri berkenaan yang menyatakan adalah lebih baik untuk tidak ‘membubut’ (mengejar) pembayaran 40 peratus sebaliknya mendesak kerajaan persekutuan untuk menaiktaraf pembangunan lain seperti sekolah, hospital, jalan raya dan sebagainya.

“Sebagai Presiden UPKO, saya tidak dapat bersetuju dengan pandangan tersebut kerana hak 40 peratus merupakan satu perkara yang telah menjadi syarat penyertaan Sabah dalam perundingan penubuhan Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS), di sini, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Harris yang berpandangan Sabah lebih wajar mendesak Kerajaan Persekutuan menaik taraf pembangunan seperti sekolah, hospital dan jalan raya berbanding menuntut hak 40 peratus.

Menurut Ewon, tanpa penerimaan terhadap syarat tersebut, Sabah tidak mungkin bersetuju menyertai pembentukan Malaysia bersama wilayah lain.

“Tanpa Sabah, tidak mungkin ada negara yang dipanggil Malaysia. Persetujuan itu juga termaktub dalam Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan.

“Hak 40 peratus itu adalah tanggungjawab perlembagaan yang mesti dilaksanakan, manakala pembangunan seperti pendidikan, kesihatan dan infrastruktur adalah tanggungjawab kerajaan Persekutuan di bawah senarai Persekutuan,” katanya.

Tambah beliau, kedua-dua perkara tersebut adalah berbeza dan tidak boleh disamakan.

Ewon berkata, pendirian UPKO selaras dengan pendekatan Kerajaan Negeri Sabah yang akan terus menuntut pelaksanaan semula hak 40 peratus melalui pendekatan kerajaan dengan kerajaan (government-to-government).

“Kita juga menyokong pelbagai pendekatan termasuk melalui perundangan, dialog, penulisan akademik dan forum untuk meningkatkan kesedaran rakyat Sabah mengenai hak ini,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa isu tuntutan 40 peratus akan menjadi antara topik utama dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah yang akan datang.