KOTA KINABALU: Hanya seramai 1,905 mangsa kebakaran Kampung Bahagia, Batu Sapi, Sandakan direkodkan kini berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat jam 12 tengah hari, hari ini, daripada kira-kira 9,000 mangsa dilaporkan hilang tempat tinggal selepas kejadian kebakaran itu pada 19 April lalu.
Berdasarkan infografik Perkembangan Harian Bencana Negeri Sabah, jumlah tersebut melibatkan 384 Ketua Isi Rumah (KIR), dengan kebakaran berkenaan turut menjejaskan kira-kira 1,000 rumah di kawasan terbabit.
Secara keseluruhan, jumlah mangsa bencana di Sabah yang direkod kini mencecah 1,972 orang daripada 402 KIR, melibatkan dua daerah iaitu Sandakan dan Kudat.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, trend semasa menunjukkan jumlah mangsa di PPS berada pada kadar menurun, namun pemantauan serta penyelarasan bantuan terus dilaksanakan.
“Jumlah dan pecahan mangsa di semua PPS adalah menurun, namun operasi pemantauan dan bantuan kepada mangsa akan terus dipergiatkan bagi memastikan kebajikan mereka sentiasa terpelihara,” menurut kenyataan itu.
Beberapa PPS masih beroperasi di Sandakan termasuk di Dewan PPR Batu Sapi, Dewan Sibuga, Sekolah Kebangsaan Karamunting serta beberapa lokasi lain bagi menempatkan mangsa yang terjejas.
Setakat ini, tiada kematian dilaporkan akibat bencana tersebut, manakala pihak berkuasa terus bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan serta keperluan asas mangsa sentiasa terjamin.






