Empangan Ulu Padas Jamin 6,000 Juta Liter Air Sehari dan 337.5MW Tenaga...

Empangan Ulu Padas Jamin 6,000 Juta Liter Air Sehari dan 337.5MW Tenaga Bersih untuk Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Projek pembangunan bersepadu Ulu Padas bakal menjadi penyelesaian utama kepada keperluan asas rakyat Sabah apabila empangannya dijangka mampu membekalkan sehingga 6,000 juta liter air sehari, selain menjana kapasiti tenaga bersih mencecah 337.5 megawatt (MW) menjelang 2031.

Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim berkata, projek berskala besar itu menggabungkan komponen tenaga dan bekalan air secara menyeluruh bagi menjamin kestabilan sumber negeri dalam jangka panjang.

Menurutnya, bagi komponen tenaga, projek hidroelektrik Ulu Padas berkapasiti 187.5MW dengan anggaran penjanaan tahunan sekitar 1,052 gigawatt jam (GWh), sekali gus menyumbang kira-kira 15 peratus kepada kapasiti tenaga boleh diperbaharui Sabah.

“Apabila mencapai tarikh operasi komersial (COD) menjelang 2030, projek ini akan diperkukuh dengan pembangunan solar terapung berkapasiti 150MW antara 2030 hingga 2031, menjadikan jumlah keseluruhan tenaga boleh diperbaharui kepada 337.5MW,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, pada Ahad.

Beliau berkata, komponen empangan yang dijadual bermula pertengahan 2026 dan siap pada akhir 2029 akan memainkan peranan penting sebagai sumber bekalan air berskala besar, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sungai yang terdedah kepada risiko kemarau.

“Empangan ini bukan sahaja meningkatkan kapasiti bekalan air negeri, malah memastikan sistem yang lebih stabil, terancang dan berdaya tahan dalam menghadapi perubahan cuaca,” katanya.

Tambah beliau, pembangunan bekalan air itu merangkumi pembinaan kemudahan pengambilan air mentah berkapasiti 385 juta liter sehari (MLD) bersama stesen pam, loji rawatan air berkapasiti 350 MLD serta rangkaian paip air terawat sepanjang kira-kira 220 kilometer dari Sipitang ke Kota Kinabalu dengan cabang ke Kuala Penyu.

Selain itu, tujuh takungan imbangan dan servis baharu turut akan dibangunkan bagi menyokong pengagihan air yang lebih efisien dan menyeluruh.

Dari segi pelaksanaan, projek hidroelektrik Ulu Padas kini berada dalam fasa pembinaan dengan kemajuan sekitar lapan peratus setakat Mac 2026, melibatkan kerja-kerja pembinaan empangan, terowong, loji janakuasa serta infrastruktur sokongan utama.

Secara keseluruhannya, projek Ulu Padas disifatkan sebagai pelaburan strategik berimpak tinggi yang bukan sahaja menjamin bekalan air mencukupi untuk rakyat, malah memperkukuh keselamatan tenaga negeri serta menyokong pertumbuhan ekonomi Sabah secara mampan.