TONGOD: Kuarters guru dan kantin sekolah musnah dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku di Sekolah Kebangsaan Imbak, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat, (BBP) Kinabatangan, PPgB Hairi Otuh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 6.24 petang.
Susulan itu katanya, sepasukan anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Tongod dan anggota BBP Kinabatan dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 167 kilometer.
“Lapor kebakaran melibatkan dua blok bangunan, empat pintu dengan keluasan 40’X40′ kaki setiap satu pintu jenis tidak kekal telah terbakar 100 peratus dan sebuah kantin sekolah dengan keluasan 20’X30′ kaki jenis tidak kekal telah terbakar 100 peratus.
“Turut terbakar sebuah kereta jenis Proton Saga BLM telah terbakar 100 peratus.
“Kebakaran telah dipadam oleh orang awam menggunakan pam air persendirian dan sumber air didapai daripada tangki air awam sebelum ketibaan Pasukan Bomba dan PBS Tongod,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Hairi, Pasukan Bomba kemudian menjalankan pemeriksaan sekitar kawasan kejadian memastikan tiada kemerbahaya lain berlaku sebelum menamatkan operasi pada jam 11.18 malam.






