KOTA KINABALU: Seramai 65 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah dalam beberapa operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan di Lahad Datu dan Kota Kinabalu, baru-baru ini.
Dalam operasi di Lahad Datu menerusi Ops Sapu, seramai 69 individu telah diperiksa, dengan 50 daripadanya ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk tidak memiliki dokumen sah serta melanggar syarat pas di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Tangkapan di daerah itu melibatkan warga Filipina terdiri daripada 11 lelaki dewasa, sembilan perempuan dewasa, lapan kanak-kanak lelaki dan 12 kanak-kanak perempuan.
Turut ditahan ialah warga Indonesia melibatkan tiga lelaki dewasa, tiga perempuan dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan.
Sementara itu di Kota Kinabalu, operasi Ops Mahir dan Ops Sapu yang dijalankan telah memeriksa 41 individu dengan 15 warga asing ditahan.
Mereka terdiri daripada warga Filipina iaitu dua lelaki dewasa dan lapan perempuan dewasa, serta lima lelaki dewasa warga China, yang disyaki melakukan kesalahan di bawah akta sama.
JIM Sabah dalam kenyataan memaklumkan bahawa operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen negara sentiasa terpelihara.






