PITAS: Seramai 300 penduduk Kampung Lok Dangkaan kini menikmati akses bekalan air bersih menerusi pelaksanaan Projek Pembangunan Loji Bekalan Air Bersih (Solar/IoT) yang dibangunkan khusus bagi membantu masyarakat luar bandar berdepan masalah bekalan air.
Projek berimpak tinggi itu dilaksanakan menerusi peruntukan berjumlah RM289,714 yang disalurkan oleh Agensi LAKSANA, Kementerian Kewangan Malaysia melalui Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS).
Universiti Malaysia Sabah (UMS) dilantik sebagai ketua pelaksana projek berkenaan yang menggunakan teknologi solar dan Internet of Things (IoT) bagi memastikan sistem bekalan air dapat beroperasi secara lebih cekap dan mampan.
Menerusi pembangunan loji mini itu, sebanyak 30,000 liter air bersih sehari mampu dibekalkan kepada penduduk Kampung Lok Dangkaan sekali gus meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup masyarakat setempat.
Inisiatif berkenaan turut dilihat sebagai langkah penting dalam memperkasakan pembangunan luar bandar menerusi penggunaan teknologi hijau dan inovasi moden bagi memastikan kemudahan asas dapat dinikmati penduduk secara berterusan.






