Tuntutan 40 Peratus Hasil Sabah Adalah Hak, Bukan Ihsan – Mustapha

Tuntutan 40 Peratus Hasil Sabah Adalah Hak, Bukan Ihsan – Mustapha

0
SHARE

KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Mustapha Sakmud menegaskan tuntutan 40 peratus hasil Sabah adalah hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan bukannya satu bentuk ihsan atau geran daripada Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, usaha melaksanakan perkara-perkara di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk tuntutan 40 peratus hasil Sabah, sedang dilaksanakan secara berterusan melalui pelbagai platform rasmi di peringkat persekutuan dan negeri.

“Tuntutan 40 peratus hasil Sabah adalah hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan bukan satu bentuk ihsan atau geran. Kedudukan ini tidak pernah dipertikaikan oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan media, baru-baru ini.

Menurut Mustapha, Kerajaan MADANI telah memperkukuh mekanisme pelaksanaan MA63 melalui penubuhan Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri serta Jawatankuasa Teknikal MA63 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 13 daripada 29 perkara berkaitan MA63 telah berjaya diselesaikan, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan perjanjian itu secara berperingkat dan konsisten.

Katanya, rundingan berkaitan isu 40 peratus hasil Sabah kini dilaksanakan menerusi Jawatankuasa Rundingan Pemberian Khas yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan dengan penglibatan Kerajaan Negeri Sabah.

“Platform ini memberi tumpuan kepada pemuktamadan formula pengiraan berdasarkan hasil bersih Persekutuan dari Sabah selaras Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan, termasuk penyelarasan data hasil bersama LHDN dan Jabatan Kastam,” katanya.

Beliau berkata, jawatankuasa itu turut meneliti isu “lost years” melibatkan tempoh bayaran yang belum diselesaikan sejak sekian lama selain membincangkan mekanisme pelaksanaan secara berfasa bagi memastikan pembayaran dapat dilaksanakan secara teratur dan berterusan.

Dalam pada itu, Mustapha berkata beberapa siri mesyuarat penyelarasan turut diadakan bersama Kerajaan Negeri Sabah termasuk Menteri Kewangan Sabah dan pegawai kanan Perbendaharaan Malaysia bagi memperincikan hala tuju serta mempercepat proses pemuktamadan.

Katanya, pertukaran data antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah bagi tempoh 2007 hingga 2025 juga telah dilaksanakan bagi memperjelas angka dan kaedah pengiraan yang terlibat.

“Kesemua usaha ini menunjukkan rundingan bukan berada dalam keadaan statik, tetapi sedang bergerak ke hadapan secara berstruktur dan berpaksikan fakta serta peruntukan Perlembagaan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pembayaran interim hanyalah penyelesaian sementara sehingga penyelesaian muktamad dicapai menerusi persetujuan bersama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

“Sebarang usaha menaikkan nilai pembayaran interim adalah wajar bagi memacu pembangunan infrastruktur demi kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.