James Tegur ADUN Likas Jangan Main Persepsi Politik Dalam DUN

James Tegur ADUN Likas Jangan Main Persepsi Politik Dalam DUN

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut, Datuk James Ratib menegur tindakan ADUN Likas yang didakwa mengeluarkan kenyataan mengelirukan berhubung perjalanan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah baru-baru ini.

James berkata, sebagai wakil rakyat yang masih baharu dalam Dewan, ADUN terbabit seharusnya memahami terlebih dahulu tatacara, adab serta semangat sebenar perbahasan DUN sebelum membuat kenyataan kepada umum.

“Dalam membangkitkan sesuatu isu, lebih-lebih lagi melibatkan kawasan orang lain, adalah lebih baik sekiranya fakta diperoleh terus daripada pihak berautoriti seperti Pegawai Daerah, agensi kerajaan berkaitan ataupun lawatan rasmi ke kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Menurutnya, seseorang wakil rakyat perlu bertanggungjawab terhadap setiap kenyataan yang dibuat dan tidak terlalu cepat memainkan isu tanpa memahami situasi sebenar di lapangan.

“Jangan terlalu cepat mencari publisiti murahan dengan memainkan isu tanpa memahami situasi sebenar di lapangan,” katanya.

Beliau turut menegaskan setiap kawasan mempunyai wakil rakyat masing-masing yang sentiasa turun padang serta memantau perkembangan semasa di kawasan mereka.

Katanya, sekiranya benar-benar mahu membantu atau mendapatkan gambaran sebenar sesuatu isu di kawasan lain, wakil rakyat berkenaan sepatutnya turun sendiri ke lapangan untuk bertemu rakyat dan pihak pentadbiran daerah, bukannya hanya membuat andaian berdasarkan maklumat tidak sahih.

James dalam masa sama menyarankan ADUN Likas supaya memberi fokus kepada isu dan kebajikan rakyat di kawasan sendiri yang masih memerlukan perhatian serta penyelesaian.

“Apa yang lebih penting ialah semua wakil rakyat perlu bekerjasama secara matang dan profesional demi kepentingan rakyat, bukannya menjadikan Dewan sebagai pentas untuk membina persepsi politik atau meraih perhatian murahan,” katanya.

Beliau berkata, dirinya kekal komited untuk terus berkhidmat kepada rakyat di kawasan N.48 Sugut dengan penuh tanggungjawab dan keikhlasan.

“Kerja untuk rakyat lebih penting daripada bermain persepsi politik,” katanya.