KOTA KINABALU: Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sabah hari ini menjadi tumpuan rakyat negeri ini berhubung semakan terbaharu tuntutan hasil bersih 40 peratus.
Pengerusi Backbenchers DUN, Datuk Masiung Banah, berkata harapan tinggi disandarkan agar Perdana Menteri membawa “berita gembira” susulan dua komponen cukai tidak dipertikaikan bernilai RM3.019 bilion seperti dimuktamadkan dalam persidangan DUN baru-baru ini.
Menurutnya, pendirian kerajaan negeri jelas bahawa “hasil cukai dua komponen itu perlu dimulakan dengan bayaran segera oleh kerajaan Persekutuan,” khususnya melibatkan kutipan cukai Kastam dan LHDN.
Beliau menegaskan bayaran bagi hasil yang tidak dipertikaikan perlu dibuat terlebih dahulu sebelum rundingan diteruskan bagi komponen lain yang masih dibincangkan.
Anwar dijadual melawat Pulau Banggi bersama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, dengan pengumuman berkaitan tuntutan itu dilihat penting kepada rakyat Sabah menjelang PRU akan datang.






