KOTA KINABALU: Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara SAA Engineering & Marine Sdn. Bhd. dan SAAEM Sabah Sdn. Bhd. menjadi langkah strategik dalam memperkukuh pembangunan industri minyak dan gas di Sabah.
Majlis yang berlangsung di sebuah hotel di sini pada Sabtu itu turut menyaksikan penyerahan Letter of Intent (LOI) bersama Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Cawangan Sabah, sekali gus memperluas jaringan kerjasama dengan usahawan tempatan.
Yang Dipertua DPMM Sabah, Datuk M Sapawae @ Sapawai Tussin, berkata pihaknya memberi tumpuan kepada sektor minyak dan gas serta komited menyokong SAAEM Sabah sebagai pemain baharu milik rakyat negeri ini.
“Kita memang fokus kepada industri minyak dan gas dan akan memberi sokongan penuh kepada SAAEM Sabah kerana syarikat ini dimiliki oleh rakyat Sabah sendiri.
“Ini selari dengan usaha kita untuk memperkukuh penyertaan syarikat tempatan dalam industri strategik dan memastikan lebih banyak peluang dinikmati oleh pemain industri dari Sabah,” katanya.
Beliau menambah, DPMM Sabah akan terus membantu syarikat berkenaan berkembang dan menempatkan diri dalam ekosistem industri minyak dan gas yang semakin pesat.
Sementara itu, Pengarah Urusan SAAEM Sabah, Muhammad Nasruddin Salim, berkata kerjasama tersebut membuka ruang kepada pembangunan industri yang lebih inklusif melalui pemindahan kepakaran dan teknologi.
“Kerjasama ini merupakan satu langkah strategik untuk memperkukuh industri minyak dan gas Sabah melalui peningkatan penyertaan tempatan, pembangunan kapasiti serta pemindahan teknologi.
“Kepakaran teknikal dan pengalaman yang dibawa oleh SAA Engineering & Marine dari Terengganu akan membantu meningkatkan keupayaan dan daya saing syarikat serta vendor tempatan,” katanya.
Dalam majlis sama, SAAEM Sabah turut mengemukakan permohonan keahlian kepada DPMM Sabah sebagai usaha mengukuhkan hubungan dengan komuniti perniagaan tempatan.






