KUDAT: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan lebih RM33 juta bagi mempercepat pelaksanaan projek pembangunan dan infrastruktur di Pulau Banggi, termasuk menaik taraf jalan raya, jambatan, jeti, balai polis, klinik, asrama serta pelbagai kemudahan lain demi kesejahteraan rakyat di pulau berkenaan.
Anwar berkata, kerajaan MADANI memahami pelbagai cabaran dan keperluan penduduk di Pulau Banggi termasuk aspek jalan raya, bekalan air, fasiliti kesihatan, pendidikan dan keselamatan yang memerlukan perhatian berterusan serta tindakan lebih pantas di lapangan.
“Sebagai ikhtiar mempercepat pembangunan di pulau ini, saya mengumumkan peruntukan lebih RM33 juta bagi pelaksanaan beberapa projek pembangunan dan infrastruktur termasuk naik taraf jalan raya, jambatan, jeti, balai polis, klinik, asrama serta kemudahan-kemudahan lain.
“Meski Pulau Banggi jauh terpencil, tidak sesekali akan saya biarkan ia terpinggir, insya-Allah,” katanya menerusi kenyataan di Facebook selepas menghadiri program bersama penduduk di Dewan Terbuka Kobong, Karakit, pada Sabtu.
Beliau berkata, lawatan itu turut memberi peluang untuk mendengar sendiri aspirasi masyarakat setempat selain menyaksikan semangat serta sambutan luar biasa daripada penduduk di kawasan berkenaan.
Menurutnya, anak-anak di Pulau Banggi mempunyai potensi besar untuk berjaya sekiranya diberikan peluang dan sokongan sewajarnya, selain menegaskan pendidikan perlu menjadi jalan untuk mengangkat martabat keluarga dan membuka masa depan lebih baik kepada generasi muda di kawasan itu.
Sehubungan itu, beliau meminta guru-guru SMK Banggi bersama Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) merangka langkah tambahan bagi meningkatkan prestasi pelajar sekolah berkenaan.
“Insya-Allah, jika diperlukan, saya sedia mempertimbangkan peruntukan tambahan demi memperkukuh pendidikan di Pulau Banggi,” katanya.
Anwar turut berkongsi kebanggaan apabila Pusat NADI Pulau Banggi diiktiraf antara yang terbaik di dunia menerusi World Summit on the Information Society di Geneva.
Katanya, pengiktirafan itu membuktikan masyarakat di kawasan terpencil juga mampu mencipta kejayaan bertaraf dunia apabila diberikan akses dan peluang yang adil.
Beliau berkata, lawatan ke Pulau Banggi itu juga membawa makna tersendiri kerana diberi kesempatan meneruskan legasi pembangunan yang dimulakan lebih 32 tahun lalu ketika pembinaan sekolah demi masa depan anak-anak di kawasan berkenaan.
“Jika dahulu ikhtiarnya tertumpu kepada pembinaan sekolah demi masa depan anak-anak di sini, hari ini usaha itu diteruskan dengan pembangunan yang lebih menyeluruh demi kesejahteraan rakyat Pulau Banggi,” katanya.






