RM2.17 Bilion Untuk 39 Projek di Sandakan

RM2.17 Bilion Untuk 39 Projek di Sandakan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM2.17 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Rolling Plan 1 bagi melaksanakan 39 projek pembangunan di Sandakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, bagi tahun 2026 sahaja, sebanyak RM213.32 juta disalurkan untuk pelaksanaan projek melibatkan sektor jalan raya, bekalan air, pendidikan, keselamatan dan alam sekitar.

Daripada jumlah itu, 26 projek sedang dilaksanakan, 12 dalam fasa pasca pelaksanaan dan satu telah siap sepenuhnya.

Antara projek utama termasuk pembinaan Jalan Semawang–Tanjung Kuala Gum-Gum, Loji Rawatan Kumbahan Sandakan, perumahan keluarga Angkatan Tentera (RKAT), Jeti Mawilla 2 serta naik taraf sistem bekalan air Sandakan.

Menurutnya, kebanyakan projek berjalan mengikut jadual hasil kerjasama antara kementerian, agensi pelaksana dan kerajaan negeri.

Beliau berkata, inisiatif ini mencerminkan komitmen kerajaan Madani dalam memastikan pembangunan Sabah dilaksanakan secara menyeluruh dan memberi manfaat langsung kepada rakyat.