Harga Kit Ujian Kendiri COVID-19 Akan Dijual Lebih Murah Sebelum 3 Oktober...

Harga Kit Ujian Kendiri COVID-19 Akan Dijual Lebih Murah Sebelum 3 Oktober Ini

0
SHARE
Kit Ujian Kendiri COVID-19...

KUALA BERANG, TERENGGANU – Kit ujian kendiri COVID-19 akan dijual dengan harga lebih rendah menjelang akhir bulan ini bagi memudahkan para ibu bapa membuat saringan sebelum sesi persekolahan bermula 3 Oktober depan.

Pasaran kit ujian itu juga akan diperluaskan ke premis perniagaan lain seperti pasar raya dan kedai serbaneka.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, berkata harga baharu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, penurunan harga itu bagi memudahkan pengguna terutama mereka yang mempunyai ahli keluarga yang ramai membuat ujian saringan.

“Kita sudah mengadakan perbincangan dengan pemain industri serta syarikat farmasi dan kita nampak hasil positif apabila mereka bersetuju untuk menurunkan harga ke paras lebih rendah…

“Harga baharu tidak membebankan rakyat berbanding harga ketika ini iaitu RM19.90.

“Selain itu, penjualannya juga tidak terhad di premis kesihatan seperti farmasi dan klinik apabila ia akan diperluaskan ke premis perniagaan yang lain seperti pasar raya besar, pasar mini dan kedai serbaneka yang memenuhi syarat ditetapkan,” katanya kepada pemberita ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kampung Sungai Berua di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rosol yang dipetik BH Online berkata, harga jualan kit ujian kendiri COVID-19 ketika ini dilihat masih membebankan terutama bagi mereka yang mempunyai ahli keluarga yang ramai.

“Harga setiap kit adalah RM19.90 dan kalau ada lima anak, ibu bapa perlu membelanjakan hampir RM100 dan kita lihat ini agak membebankan, jadi harga baharu yang akan diumumkan nanti mampu dimiliki sebab kita prihatin dengan hak pengguna…

“Walaupun harga itu belum dimuktamadkan tetapi kita memberi jaminan harganya mampu dimiliki dan tidak membebankan pengguna,” katanya.