KINABATANGAN: Sekumpulan 11 ekor gajah termasuk seekor anak berjaya diselamatkan selepas terperangkap dalam sebuah kolam air terbiar berhampiran Hutan Simpan Deramakot, di sini, minggu lalu.
Kejadian itu melibatkan 10 gajah dewasa dan seekor gajah muda yang tidak dapat keluar dari kolam berkenaan berikutan tebing yang curam serta licin.
Jabatan Hidupan Liar Kinabatangan menghantar sepasukan anggota ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat daripada pekerja ladang mengenai kejadian tersebut, menurut hantaran Facebook Jabatan Hidupan Liar Sabah.
Operasi menyelamat dijalankan dengan bantuan jengkaut bagi membina laluan selamat untuk membolehkan kesemua gajah keluar tanpa mengalami kecederaan serius.
Pasukan penyelamat memaklumkan lokasi ladang itu berhampiran sungai dan kawasan tanah lembap yang merupakan habitat semula jadi gajah, sekali gus meningkatkan risiko kejadian seumpama itu berulang.
Bagi mengelakkan kejadian sama, Jabatan Hidupan Liar mencadangkan supaya kolam terbiar berkenaan ditutup atau dipasang penghadang keselamatan yang sesuai.
“Kes ini menunjukkan pentingnya kerjasama antara agensi, pihak ladang dan komuniti dalam melindungi hidupan liar.
“Setiap tindakan kecil serta laporan awal daripada orang awam mampu memberi perbezaan besar dalam usaha memelihara spesies ikonik Sabah untuk generasi akan datang,” katanya.






