Projek RM150 Juta KTC di KKIP Bakal Jana 500 Pekerjaan, Perkukuh Sabah...

Projek RM150 Juta KTC di KKIP Bakal Jana 500 Pekerjaan, Perkukuh Sabah Sebagai Hab Logistik Serantau

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pelaburan RM150 juta oleh Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) menerusi pembangunan Taman Perindustrian KTC di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dijangka menjadi pemangkin baharu kepada sektor logistik dan perindustrian Sabah, termasuk mewujudkan kira-kira 500 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat tempatan.

Projek mega di atas tapak seluas 15 ekar itu turut dijangka melonjakkan kapasiti operasi syarikat sehingga empat kali ganda, selain memperkukuh kedudukan Sabah sebagai hab logistik dan pengedaran utama di Malaysia Timur serta rantau ASEAN.

Majlis pecah tanah projek berkenaan disempurnakan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick, bersama Pengerusi KTC Tan Sri Datuk Seri Panglima Mohd Zuki Ali, Pengarah Urusan, Datuk Lau Kok Sing dan Pengarah Eksekutif, Datuk Dexter Lau di KKIP, hari ini.

Pembangunan yang dijangka siap dalam tempoh satu setengah tahun itu bakal menempatkan fasiliti industri dan logistik moden seluas kira-kira 500,000 kaki persegi termasuk 200,000 kaki persegi ruang penyimpanan.

Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau berkata, projek berkenaan mencerminkan keyakinan jangka panjang syarikat terhadap potensi ekonomi Sabah walaupun berdepan cabaran ekonomi global semasa.

“Kami meletakkan pelaburan besar di Sabah kerana ini adalah rumah kami. Walaupun ada pelbagai cabaran dan sentimen negatif, KTC tetap percaya kepada Sabah dan masa depannya.

“Kami bukan sekadar membina gudang, tetapi membangunkan sebuah taman perindustrian strategik yang akan menyokong pertumbuhan logistik, perdagangan dan operasi jangka panjang di Sabah dan rantau ASEAN,” katanya pada sidang media selepas majlis itu.

Beliau berkata, selain menambah sekitar 200 unit kenderaan dan peralatan perusahaan di seluruh Malaysia Timur, pembangunan itu juga dijangka meningkatkan keupayaan operasi syarikat secara signifikan.

“Kapasiti operasi dan keuntungan syarikat dijangka meningkat hampir empat kali ganda apabila projek ini siap sepenuhnya,” katanya.

Menurut Dexter, KTC turut melihat peranan syarikat korporat tempatan sebagai rakan strategik kepada kerajaan dalam membantu memperkukuh pembangunan ekonomi negeri dan negara.

“Sebagai syarikat korporat, kita tidak boleh hanya duduk dan merungut. Kita perlu melakukan sesuatu yang praktikal untuk membantu negara berkembang dan membuka lebih banyak peluang ekonomi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kira-kira 90 peratus keuntungan KTC ketika ini masih disumbangkan oleh operasi di Malaysia Timur dan Brunei, sekali gus membuktikan kekuatan pasaran di rantau Borneo.

Katanya, walaupun syarikat kini mempunyai operasi di Semenanjung Malaysia serta pasaran antarabangsa termasuk Vietnam, Thailand, China dan Eropah, Sabah kekal menjadi pusat utama pentadbiran dan operasi syarikat.

Sementara itu, Ewon berkata, pelaburan berskala besar seperti dilaksanakan KTC membuktikan keyakinan pelabur terhadap potensi Sabah sebagai hab perindustrian dan logistik serantau semakin kukuh.

“Pelaburan seperti ini bukan sahaja membuka peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat, malah memperkukuh ekosistem perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan serta merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan RM180 juta, KTC turut mengesahkan pelaburan tambahan RM30 juta di Sarawak dalam tempoh dua tahun akan datang bagi memperluaskan operasi syarikat di rantau BIMP-EAGA.