Gajah Terperangkap Dalam Kolam: Pengusaha Ladang Diarah Tidak Bina Kolam Tanpa Langkah...

Gajah Terperangkap Dalam Kolam: Pengusaha Ladang Diarah Tidak Bina Kolam Tanpa Langkah Mitigasi

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pengusaha ladang di Sabah diarahkan supaya tidak membina kolam tanpa langkah mitigasi keselamatan susulan insiden 11 ekor gajah pygmy Borneo termasuk seekor anak gajah terperangkap di sebuah kolam dalam kawasan ladang FGV Cepat Ringgit B berhampiran Hutan Simpan Deramakot di Kinabatangan baru-baru ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah telah mengarahkan semua operator ladang memastikan kolam atau struktur seumpamanya dibina dengan ciri mitigasi yang sesuai bagi mengelakkan risiko kepada hidupan liar.

Menurut beliau, sekurang-kurangnya satu bahagian tebing kolam perlu dibina dengan cerun landai dan bukannya dinding curam supaya haiwan liar dapat keluar dengan selamat sekiranya terjatuh atau memasuki kawasan berkenaan.

Katanya, berdasarkan maklumat JHL Sabah, kejadian membabitkan kumpulan gajah itu berlaku di dalam kawasan ladang dan punca sebenar sama ada haiwan berkenaan memasuki kolam secara sukarela atau terjatuh secara tidak sengaja masih belum dapat dipastikan.

“Tindakan segera diambil oleh JHL Sabah bersama pihak pengurusan ladang dengan meratakan tebing kolam bagi membolehkan semua gajah keluar dengan selamat.

“Saya lega kerana kesemua gajah berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan serius atau kematian,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau turut memuji tindakan pantas JHL Sabah, renjer lapangan, kakitangan ladang dan semua pihak yang terlibat dalam operasi menyelamat berkenaan.

Jafry berkata, insiden itu menjadi peringatan penting bahawa kolam, parit dan struktur berbahaya berhampiran laluan pergerakan hidupan liar terus menjadi ancaman kepada spesies dilindungi khususnya gajah pygmy Borneo.

Menurutnya, terdapat juga kemungkinan kumpulan gajah terbabit memasuki kolam tersebut bagi menyejukkan badan berikutan keadaan cuaca panas ketika ini memandangkan gajah sememangnya gemar berkubang dan mandi.

Tambah beliau, JHL Sabah akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan pengusaha ladang, komuniti setempat dan rakan pemuliharaan bagi meningkatkan perlindungan hidupan liar serta memastikan pembangunan berhampiran koridor ekologi dilaksanakan secara bertanggungjawab dan mampan.