Sabah Electricity Jelaskan Punca Bil Elektrik Naik, Cagaran Tambahan Antara Faktor

Sabah Electricity Jelaskan Punca Bil Elektrik Naik, Cagaran Tambahan Antara Faktor

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sabah Electricity (SE) Sdn. Bhd. tampil menjelaskan beberapa faktor yang menyebabkan peningkatan bil elektrik pengguna kebelakangan ini, termasuk semakan cagaran tambahan, peningkatan penggunaan semasa, tunggakan bil dan tindakan penguatkuasaan berkaitan Kes Usikan Pepasangan Meter (KUPM).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar berkata, pihaknya memahami kebimbangan dan sentimen pengguna berhubung isu kenaikan bil elektrik yang kini banyak tular di media sosial.

Menurut beliau, cagaran tambahan merujuk kepada bayaran deposit tambahan yang dikenakan kepada pengguna berdasarkan peningkatan penggunaan semasa atau rekod pembayaran tertentu sebagai jaminan memastikan bayaran bil dibuat secara teratur.

“Keperluan melaksanakan semakan cagaran tambahan setiap enam bulan adalah bagi memastikan jumlah cagaran yang dipegang selaras dengan corak penggunaan semasa dan risiko pembayaran pengguna.

“Semakan berkala ini membantu memastikan akaun pengguna mempunyai jaminan mencukupi sekiranya berlaku peningkatan penggunaan elektrik atau tunggakan bayaran, sekali gus menyokong kelangsungan operasi dan kestabilan sistem bekalan elektrik secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, semakan cagaran itu dilaksanakan secara berkala selaras dengan Enakmen Bekalan Elektrik 2024, Peraturan-Peraturan Bekalan Pemegang Lesen 2024 serta Akta Bekalan Elektrik 1990 yang memberi kuasa kepada pemegang lesen mengenakan cagaran sebagai jaminan pembayaran bekalan elektrik.

Dalam pada itu, Mohd Yaakob berkata peningkatan bil elektrik kebelakangan ini turut dipengaruhi faktor penggunaan tinggi ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri, cuaca panas serta penggunaan berterusan peralatan elektrik berkuasa tinggi seperti penghawa dingin, pemanas air dan peti sejuk tambahan.

Sehubungan itu, pengguna disaran memantau penggunaan elektrik secara berkala dan mengamalkan penggunaan tenaga secara berhemah bagi mengawal jumlah bil bulanan.

Katanya, pengguna juga digalakkan menggunakan aplikasi mySE+ bagi menyemak bil, merekod penggunaan serta mendapatkan maklumat berkaitan akaun elektrik dengan lebih mudah dan pantas.

Selain itu, beliau berkata pengguna boleh mendapatkan khidmat nasihat di semua 23 pejabat kawasan Sabah Electricity untuk menyemak meter elektrik dan penggunaan tenaga di premis masing-masing.

Mohd Yaakob turut menegaskan bahawa hasil kutipan bayaran bil amat penting bagi memastikan operasi sistem bekalan elektrik dapat diteruskan secara mampan termasuk kerja penyelenggaraan, penambahbaikan infrastruktur dan kestabilan bekalan elektrik kepada rakyat.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata Sabah Electricity memandang serius kes usikan pepasangan meter termasuk penyambungan haram, pengusikan meter dan kegiatan mencuri elektrik kerana ia bukan sahaja menyalahi undang-undang malah mengundang risiko keselamatan seperti kebakaran dan renjatan elektrik.

Katanya, tindakan penguatkuasaan terhadap kesalahan itu dilaksanakan berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa bagi melindungi kepentingan majoriti pengguna yang membayar bil secara sah dan bertanggungjawab.

“Sabah Electricity akan terus komited memperkukuh komunikasi bersama pengguna serta memastikan setiap isu yang dibangkitkan ditangani secara profesional, telus dan berintegriti demi kepentingan bersama,” katanya.