Jepun Sumbang Van Mesra OKU Bernilai Lebih RM200,000 kepada Sabah Cheshire Home

Jepun Sumbang Van Mesra OKU Bernilai Lebih RM200,000 kepada Sabah Cheshire Home

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyambut baik sokongan berterusan Kerajaan Jepun terhadap usaha memperkasa kebajikan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di negeri ini menerusi sumbangan sebuah van Toyota Hiace mesra kerusi roda kepada Sabah Cheshire Home and Services di Sandakan.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, kenderaan khas itu disumbangkan melalui Program Bantuan Geran Projek Keselamatan Manusia Peringkat Akar Umbi (GGP) Jepun bagi meningkatkan mobiliti dan akses penghuni pusat berkenaan kepada pelbagai perkhidmatan penting.

Beliau berkata, van berkenaan akan memudahkan golongan OKU mendapatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan, program pemulihan, pendidikan serta aktiviti komuniti dengan lebih selamat dan selesa.

Sumbangan ini bukan sekadar mengenai pengangkutan, tetapi mengenai maruah, kebebasan, dan memastikan setiap individu mempunyai peluang untuk turut serta secara penuh dalam masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan rasmi van tersebut di Sabah Cheshire Home and Services, pada Khamis.

Menurut Julita, pusat kebajikan itu sebelum ini menggunakan van berusia lebih 25 tahun yang amat memerlukan penggantian segera bagi memastikan kebajikan penghuni terus terpelihara.

Beliau turut menegaskan bahawa isu aksesibiliti masih menjadi antara cabaran utama yang dihadapi ramai OKU, khususnya dalam mendapatkan perkhidmatan penting dan penyertaan dalam program komuniti.

Katanya, sumbangan berterusan daripada Kerajaan Jepun mencerminkan hubungan persahabatan dan kerjasama kemanusiaan yang kukuh antara Sabah dan Jepun.

“Ini merupakan sumbangan kenderaan yang ketiga daripada Kerajaan Jepun kepada Sabah Cheshire Home and Services, sekali gus membuktikan komitmen berterusan mereka terhadap kebajikan masyarakat di Sabah,” katanya.

Van bernilai kira-kira RM251,890 itu turut dilengkapi sistem lif kerusi roda dan dipercayai merupakan satu-satunya van mesra OKU dengan kemudahan sedemikian yang digunakan di Sandakan ketika ini.

Dalam pada itu, Julita memuji komitmen Sabah Cheshire Home and Services dalam menyokong golongan OKU menerusi penyediaan penjagaan kediaman, sokongan pendidikan, latihan kemahiran serta program kehidupan berdikari.

Beliau berkata, Kerajaan Sabah kekal komited menyokong pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berteraskan kebajikan melalui kerjasama bersama agensi berkaitan termasuk Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA).

Katanya lagi, kementeriannya juga terbuka untuk meneroka peluang kerjasama masa hadapan bersama Sabah Cheshire Home and Services bagi memperkukuh perkhidmatan kebajikan kepada golongan rentan termasuk warga emas dan OKU.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pejabat Konsular Jepun di Kota Kinabalu, Hisaki Nakasuji; Setiausaha Kedua/Naib Konsul, Sugaya Kyohei; Presiden Sabah Cheshire Home and Services, Lawrence Hee Qui Shing serta Ketua Penolong Setiausaha KWKKR, Lee Chun Kiat.