PENAMPANG: Syarikat-syarikat perkapalan yang sebelum ini bercadang memperkenalkan surcaj kesesakan susulan isu di Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar (SBCP) bersetuju menangguhkan pelaksanaan caj tersebut selepas siri libat urus berterusan bersama Kementerian Pembangunan Perindustrian Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET).
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick berkata, keputusan itu dicapai hasil rundingan dan pertemuan antara kementeriannya dengan syarikat-syarikat perkapalan serta persatuan pengguna pelabuhan.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, pihak syarikat mengambil keputusan menangguhkan surcaj berkenaan selepas melihat sendiri usaha dan langkah penambahbaikan yang sedang dilaksanakan kerajaan negeri bagi menangani isu kesesakan di pelabuhan.
“Dalam minggu ini sahaja, saya mengadakan tiga pertemuan bersama syarikat perkapalan bagi membincangkan dan mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap isu tersebut.
“Sebelum saya ke Lahad Datu kelmarin, saya sempat mengadakan pertemuan dengan mereka dan kerana mereka yakin dengan apa yang kita lakukan serta apa yang mereka lihat di lapangan, kesemua syarikat perkapalan yang pada mulanya mahu memperkenalkan surcaj itu telah memaklumkan secara rasmi bahawa mereka menangguhkan hasrat tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Penampang di Buhavan Square, pada Jumaat.
Menurut Ewon, keputusan menangguhkan surcaj itu merupakan satu perkembangan positif kerana pelaksanaan caj tambahan berkenaan akhirnya akan memberi kesan langsung kepada pengguna.
“Kalau diteruskan, ia akan memberi kesan kepada rantaian perkhidmatan dan akhirnya kitalah selaku pengguna akhir yang akan menanggung kosnya.
“Tetapi selepas dibincang dan diputuskan untuk tidak diteruskan oleh syarikat-syarikat perkapalan, saya yakin kita kini boleh memberi fokus kepada perkara yang menyumbang kepada kecekapan tadbir urus dan operasi di pelabuhan,” katanya.
Dalam usaha meningkatkan kecekapan operasi pelabuhan, beliau turut memaklumkan operator pelabuhan kini memperkenalkan inisiatif baharu dikenali sebagai ‘Berthing Window Program’ bagi mengurangkan kesesakan kapal dan memperkemas jadual berlabuh di pelabuhan.
Ewon berkata, kerajaan negeri tidak pernah berdiam diri dalam menangani isu kesesakan di Pelabuhan Kontena Sepanggar yang kini menjadi perhatian umum.
“Dari bulan Februari kita telah membentuk satu pasukan petugas dan hampir setiap minggu kita memantau pelaksanaan langkah-langkah pelan tindakan yang telah dipersetujui di kabinet,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmennya untuk terus bekerja keras memastikan isu berkenaan dapat diselesaikan demi kepentingan rakyat dan ekonomi negeri.
“Saya tidak pernah berdiam diri. Semakin banyak pihak memberi kenyataan, semakin kuat saya bekerja. Inilah semangat Sabah First yang mesti kita teruskan,” katanya.
Dalam pada itu, Ewon menyeru semua pihak di Penampang tanpa mengira latar belakang politik agar terus bersatu demi pembangunan daerah dan negeri.
Katanya, beliau yakin daerah Penampang akan terus menerima manfaat daripada pelan hala tuju Sabah Maju Jaya sekiranya semua pihak bekerjasama sebagai satu pasukan.






