GERAM SOKONG DEMO G57, DBKK DIDAKWA PILIH KASIH DALAM OPERASI SAMAN DAN...

GERAM SOKONG DEMO G57, DBKK DIDAKWA PILIH KASIH DALAM OPERASI SAMAN DAN TUNDA KENDERAAN

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Gerakan Anti Rasuah Malaysia (GERAM) menyatakan sokongan penuh terhadap demonstrasi aman yang bakal digerakkan oleh Datuk Zulkarnain Mahdar bersama Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) susulan dakwaan amalan pilih kasih serta “double standard” oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam operasi saman dan tunda kenderaan melibatkan orang awam.

GERAM mendakwa tindakan DBKK kebelakangan ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat selepas ramai pengunjung yang hadir menyaksikan acara Sabah FCAS International Dragon Boat Race 2026 di kawasan Tanjung Lipat pada 16 Mei lalu dikenakan saman oleh penguat kuasa DBKK.

Bagaimanapun, GERAM mendakwa situasi berbeza berlaku ketika persidangan khas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Sabah International Convention Centre (SICC) pada 17 Mei lalu apabila ratusan kenderaan dipercayai milik ahli dan penyokong GRS dilihat parkir di bahu jalan sekitar SICC dan Tanjung Lipat tanpa dikenakan tindakan sama.

Menurut GERAM, keadaan itu menyebabkan rakyat mula mempersoalkan kewibawaan DBKK kerana penguatkuasaan didakwa dilaksanakan secara tidak adil dan bersifat terpilih.

“Kalau mahu saman, saman semua tanpa memilih bulu. Jangan hanya rakyat biasa menjadi sasaran sedangkan pihak tertentu dilihat bebas melanggar peraturan tanpa tindakan.

“Rakyat bukan marah kerana disaman. Rakyat marah apabila undang-undang dilihat tidak dilaksanakan secara adil kepada semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

GERAM berkata antara perkara yang paling dipersoalkan rakyat ketika ini ialah tindakan penguatkuasaan DBKK pada waktu malam yang didakwa semakin agresif sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan orang awam.

Menurut GERAM, ramai rakyat mempersoalkan rasional tindakan tunda kenderaan pada waktu malam, khususnya di kawasan tumpuan awam dan lokasi perniagaan ketika ramai pengunjung hadir membawa keluarga untuk makan, membeli-belah atau beriadah.

“Rakyat mahu tahu kenapa operasi tunda pada waktu malam begitu agresif terhadap orang awam, tetapi apabila melibatkan program tertentu atau pihak tertentu, penguatkuasaan dilihat longgar dan tidak konsisten.

“Kalau undang-undang mahu dilaksanakan, laksanakan kepada semua tanpa mengira siapa mereka,” katanya.

GERAM turut mendakwa terdapat kes di mana kenderaan ditunda walaupun pemandu masih berada berhampiran atau masih berada di dalam kenderaan sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai.

Menurut GERAM, tindakan sebegitu bukan sahaja membebankan rakyat dari sudut kewangan, malah menjejaskan imej DBKK sebagai pihak berkuasa tempatan yang sepatutnya lebih mengutamakan pendekatan mesra rakyat.

GERAM berkata pihaknya menyokong penuh tindakan saman dan tunda kenderaan oleh DBKK sama ada siang atau malam, namun mempersoalkan mengapa tindakan sama tidak dikenakan terhadap kenderaan dipercayai milik ahli-ahli GRS yang menghadiri persidangan khas di SICC.

Menurut GERAM, undang-undang tidak sepatutnya dilaksanakan berdasarkan pengaruh politik atau kedudukan seseorang.

“Kalau rakyat biasa parkir lima minit terus kena saman atau ditunda, kenapa apabila melibatkan program tertentu ratusan kenderaan boleh parkir merata-rata tanpa tindakan?

“Undang-undang mesti dilaksanakan secara tegas dan adil tanpa mengira siapa mereka,” katanya.

GERAM turut mendakwa rakyat semakin kecewa apabila DBKK dilihat lebih agresif menyaman dan menunda kenderaan rakyat berbanding menyelesaikan masalah lebih besar yang terus membelenggu bandar raya.

“Penjual rokok seludup masih bebas berniaga di sekitar bandar raya, isu sampah sarap terus menjadi rungutan rakyat, kawasan tertentu dipenuhi parkir haram dan masalah sosial, namun rakyat biasa pula yang menjadi sasaran utama operasi penguatkuasaan,” katanya.

Aduan masalah sampah sarap di salah satu kawasan perumahan sekitar Kota Kinabalu…

GERAM juga mencadangkan agar penganjuran night market di kawasan Api-Api diteliti semula memandangkan kemudahan parkir di kawasan berkenaan didakwa tidak mencukupi sehingga menyukarkan orang ramai.

Menurut GERAM, keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila pengunjung, khususnya wanita yang berjalan bersendirian pada waktu malam, terpaksa meletakkan kenderaan agak jauh dari lokasi night market sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan.

“DBKK tidak boleh hanya mahu meriahkan bandar raya dengan pelbagai program dan night market, tetapi dalam masa sama gagal menyediakan kemudahan parkir yang mencukupi untuk rakyat.

“Apabila parkir tidak mencukupi, rakyat terpaksa meletakkan kenderaan di lokasi tertentu sebelum akhirnya dikenakan saman pula. Keadaan ini hanya menambahkan lagi kemarahan dan tekanan kepada rakyat,” katanya.

GERAM menegaskan apa yang disuarakan oleh Datuk Zulkarnain Mahdar dan G57 bukan bertujuan menghasut rakyat melanggar undang-undang, sebaliknya mahu memastikan penguatkuasaan dilakukan secara profesional, telus dan tanpa pilih kasih.

Sehubungan itu, GERAM memaklumkan pihaknya akan menghantar memorandum rasmi kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor supaya meneliti dakwaan berkaitan penguatkuasaan terpilih oleh DBKK.

GERAM turut menyatakan sokongan penuh terhadap demonstrasi aman yang dicadangkan oleh G57 di hadapan bangunan DBKK dalam masa terdekat sekiranya isu berkenaan terus dipandang ringan.

“Rakyat Sabah bukan menolak undang-undang, tetapi rakyat menolak sikap pilih kasih dalam pelaksanaan undang-undang,” katanya lagi.

SHARE
Previous articleMustapha Tidak Tolak PRU Awal, PH Sabah Sudah Gerak Jentera
Sabah News adalah sebuah medium berita yang menarik yang adil dan kontroversi yang hanya memaparkan berita sebenar dan tular serta bagi tontonan umum.