Syabu, Ketum dan Ubat Batuk Dirampas, Enam Individu Dicekup Polis di Lahad...

Syabu, Ketum dan Ubat Batuk Dirampas, Enam Individu Dicekup Polis di Lahad Datu

0
SHARE

LAHAD DATU: Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu berjaya menahan enam individu serta merampas syabu, ketum dan ubat batuk terkawal menerusi lima serbuan berasingan dalam Op Tapis yang dijalankan selama dua hari bermula 16 hingga 17 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Dzulbaharin Ismail berkata, operasi di kawasan Anjung Teduh, Kampung Puyut dan Kampung Perabot itu berjaya merampas keseluruhan 6.85 gram syabu, 2.2 kilogram serbuk ketum, 10.5 liter air ketum serta lapan botol ubat batuk Dynadryl.

Menurut beliau, daripada enam individu yang ditahan, tiga daripadanya didapati positif dadah selepas menjalani ujian saringan air kencing.

“Pada 16 Mei kira-kira jam 9.30 malam, seorang lelaki ditahan di sebuah rumah di Blok 07, Anjung Teduh dengan rampasan 1,400 gram serbuk ketum dan enam liter air ketum bernilai RM420.

Setengah jam kemudian, seorang lagi lelaki ditahan di lokasi berhampiran dan polis merampas 800 gram serbuk ketum, 4.5 liter air ketum serta lapan botol ubat batuk Dynadryl bernilai RM380,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

Beliau berkata, pada 17 Mei kira-kira jam 11 pagi, seorang lelaki ditahan dalam keadaan mencurigakan di Kampung Puyut, Jalan Pantai.

“Hasil pemeriksaan menemui 0.32 gram syabu dan satu gulung kertas timah. Ujian saringan mendapati suspek positif Amphetamine dan Methamphetamine,” katanya.

Dalam serbuan berasingan di Kampung Perabot, Jalan Tengah Nipah kira-kira jam 12.15 tengah hari, polis turut menahan seorang lelaki dan seorang perempuan di beranda rumah.

“Hasil pemeriksaan menemui 5.53 gram syabu yang dibungkus dalam 28 paket kecil bernilai RM553.

“Ujian saringan mendapati suspek lelaki positif Amphetamine dan Methamphetamine manakala suspek perempuan negatif dadah,” katanya.

Kes disiasat mengikut beberapa peruntukan Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952 termasuk Seksyen 12(2), 15(1)(a), 30(3) dan 39A(1).

Dzulbaharin menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang kegiatan penyalahgunaan dadah dan ketum di daerah itu.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah diminta menyalurkan maklumat kepada BSJND IPD Lahad Datu di talian 089-881255. Kerahsiaan pemberi maklumat dijamin,” katanya.