KUALA LUMPUR: Pelakon veteran tanah air, Jalil Hamid meninggal dunia pada jam 12.30 tengah hari tadi selepas dipercayai tertidur usai menunaikan solat Subuh di kediamannya.
Berita pemergian seniman berusia 69 tahun itu disahkan oleh anaknya, Afiqah Jalil menerusi akaun Instagram miliknya.
Menurut Afiqah, Allahyarham ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh ibunya ketika masuk ke bilik tidur sebelum disahkan meninggal dunia di rumah.
Dalam hantaran InstaStory, beliau memaklumkan jenazah Allahyarham akan disolatkan di Masjid Al Munawwarah, Shah Alam sebelum dijangka dikebumikan selepas solat Asar di Tanah Perkuburan USJ 21, Subang Jaya, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Allahyarham mempunyai sejarah masalah jantung dan pernah menjalani rawatan berkala.
Sepanjang lebih empat dekad dalam industri seni, Allahyarham Jalil dikenali sebagai antara pelakon dan penyanyi yang aktif serta berpengaruh.
Antara karya lakonannya yang meninggalkan kesan termasuk filem Bisik Pada Langit dan Wanita Bertudung Hitam, selain drama seperti Cucu Atuk, Beca Usang dan Ayahanda.
Kecemerlangan bakat lakonan Allahyarham turut melayakkan beliau menerima pelbagai pengiktirafan sepanjang kerjayanya.
Selain lakonan, Allahyarham juga pernah merakamkan lagu Ayam yang bersifat sindiran dan humor sekitar awal 1990-an.






