Bayi Perempuan Ditinggalkan di Ladang Kelapa Sawit di Semporna

Bayi Perempuan Ditinggalkan di Ladang Kelapa Sawit di Semporna

0
SHARE

SEMPORNA: Seorang bayi perempuan ditemui dalam keadaan selamat selepas dipercayai ditinggalkan di sebuah ladang kelapa sawit di daerah ini, pada 25 April lalu.

Ketua Polis Daerah Semporna, Supt. Tan Hiap Wah berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam kira-kira jam 1.07 pagi berhubung penemuan bayi tersebut yang masih hidup dan dibungkus dengan kain.

Menurutnya, bayi berkenaan ditemui lebih awal oleh seorang wanita sekitar jam 7.30 malam pada 24 April sebelum diserahkan kepada ketua kampung dan seterusnya dibawa ke Pondok Polis Lihak-Lihak untuk tindakan lanjut.

“Bayi perempuan itu kemudiannya dihantar ke Hospital Semporna untuk rawatan. Pemeriksaan mendapati bayi tersebut dianggarkan seberat tiga kilogram dan berada dalam keadaan stabil tanpa sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini pada Ahad.

Beliau berkata, bayi tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tindakan selanjutnya.

Mengulas lanjut, Tan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.