Keluarga Masa Kini Berdepan Tekanan Kos Sara Hidup, Cabaran Digital – Julita

Keluarga Masa Kini Berdepan Tekanan Kos Sara Hidup, Cabaran Digital – Julita

0
SHARE

KOTA KINABALU: Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki berkata, keluarga masa kini berdepan cabaran yang semakin kompleks akibat tekanan kos sara hidup, tuntutan kerjaya, perubahan gaya hidup serta pengaruh dunia digital yang semakin memberi kesan kepada institusi kekeluargaan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri di Sabah Oriental Hotel, di Kota Kinabalu pada Sabtu.

Menurut Julita, walaupun Indeks Kesejahteraan Malaysia 2024 meningkat kepada 120.6 mata berbanding 119.4 mata pada tahun sebelumnya, realiti kehidupan menunjukkan ramai keluarga masih bergelut dengan tekanan ekonomi, kesihatan mental serta kesukaran mengimbangi kerjaya dan kehidupan harian.

Walaupun indikator menunjukkan peningkatan, ramai keluarga masih berdepan tekanan kos sara hidup, cabaran kesihatan mental dan kesukaran mengimbangi tuntutan kerja serta kehidupan harian,” katanya.

Beliau berkata purata saiz isi rumah di Sabah yang kekal sekitar 4.6 orang mencerminkan kekuatan institusi keluarga, namun tekanan kehidupan moden terus memberi cabaran kepada keluarga masa kini.

Katanya, purata umur ibu yang melahirkan anak pertama di Sabah turut meningkat kepada 27.5 tahun pada 2023, sekali gus mencerminkan perubahan struktur keluarga moden serta keutamaan wanita terhadap kestabilan kerjaya, persediaan ekonomi dan perancangan keluarga.

Julita berkata tema Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan tahun ini, “Seteguh Kasih Ibu”, amat bertepatan dengan peranan ibu sebagai benteng keluarga dan pembentuk generasi dalam mendepani cabaran dunia moden.

“Ibu hari ini bukan sahaja mendidik anak-anak, tetapi turut menjadi tunjang kestabilan emosi, nilai dan hala tuju keluarga,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pengaruh digital dan media sosial kini menjadi antara cabaran utama dalam mendidik anak-anak, sekali gus menuntut ibu bapa memperkukuhkan ilmu serta pendekatan keibubapaan agar nilai positif dalam keluarga terus dipertahankan.

Selain itu, katanya, wanita masa kini turut berdepan cabaran besar dalam mengimbangi kerjaya dan keluarga, selaras dapatan kajian “Life Satisfaction among Women in Sabah, Malaysia: A Quantitative Study” tahun 2025.

“Keadaan ini menunjukkan perlunya sokongan yang lebih menyeluruh kepada wanita termasuk persekitaran kerja mesra keluarga, akses kesihatan berkualiti dan perlindungan sosial yang lebih baik,” katanya.

Pada majlis itu, Faineh Modirim diumumkan sebagai penerima Anugerah Inspirasi Ibu 2026 sebagai penghargaan terhadap ketabahan dan pengorbanannya sebagai ibu tunggal membesarkan anak-anak sehingga berjaya.

Beliau menerima wang tunai RM1,000, sijil penghargaan serta selempang penghormatan yang disampaikan oleh Julita.