KOTA KINABALU: Kesatuan Perkhidmatan Pegawai Imigresen Sabah (KPPIS) menjalinkan kerjasama strategik dengan Sabah Law Society (SLS) bagi memperkukuh perlindungan hak serta sokongan perundangan terhadap pegawai imigresen di negeri ini.
Kerjasama itu dizahirkan menerusi kunjungan hormat barisan kepimpinan KPPIS ke pejabat SLS yang disambut Presiden SLS, Datuk Mohamed Nazim Maduarin bersama Ahli Jawatankuasa Eksekutif badan itu, baru-baru ini.
Delegasi KPPIS pula diketuai Presidennya, Azizah S Ahmad serta beberapa Ahli Jawatankuasa tertinggi kesatuan.
Azizah berkata, pertemuan itu amat signifikan dalam memperkukuh hubungan strategik dan membina kerjasama lebih erat serta mampan antara kedua-dua pihak demi kelangsungan advokasi perkhidmatan.
Menurut beliau, KPPIS turut mendapatkan pandangan serta khidmat nasihat profesional daripada sudut perundangan, khususnya berkaitan hak dan perlindungan pekerja sektor kerajaan.
“Kunjungan ini menjadi platform pertukaran pandangan dalam membina medium yang lebih teguh untuk membincangkan pelbagai perkara penting berkaitan perkhidmatan, pematuhan perundangan dan kepentingan bersama,” katanya.
Beliau berkata, KPPIS berharap jaringan kerjasama itu dapat mewujudkan perkongsian maklumat yang lebih berkesan bagi merapatkan kefahaman antara ruang lingkup tugas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan kepakaran perundangan dimiliki pihak SLS.
Katanya, kesatuan itu juga yakin inisiatif berkenaan mampu menjadi benteng sokongan perundangan yang lebih kukuh kepada warga imigresen Sabah dalam mendepani cabaran perkhidmatan pada masa hadapan.
Azizah turut merakamkan penghargaan kepada Mohamed Nazim dan seluruh kepimpinan SLS atas kesudian menerima kunjungan tersebut selain berkongsi pandangan serta membuka ruang kerjasama strategik bersama KPPIS.






