Palestin Sambut Baik Keputusan UNHRC

Palestin Sambut Baik Keputusan UNHRC

0
SHARE

RAMALLAH – Palestin menyambut baik keputusan Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC), untuk membentuk sebuah jawatankuasa bebas bagi menyiasat pencabulan Israel terhadap wilayah Palestin, demikian menurut laporan Xinhua.

Pada satu sesi khas, semalam, UNHRC membuat keputusan untuk melancarkan siasatan antarabangsa berhubung pelanggaran hak asasi manusia di wilayah Palestin dan jajahan Israel sejak April lalu, selepas 24 negara anggota mengundi untuk menyokong, sembilan membantah, manakala 14 lagi berkecuali.

Keputusan itu membabitkan inkuiri terhadap konflik ganas yang terbaru antara tentera rejim Zionis dengan pejuang Palestin di Semenanjung Gaza, dan ‘punca tunjang’ kepada ketegangan antara kedua-dua pihak itu.

Kementerian Hal Ehwal Luar Palestin dalam satu kenyataan, menyifatkan 24 negara anggota yang menyokong keputusan itu sebagai ‘menyebelahi keadilan, hak dan akauntabiliti.’

“Pembentukan jawatankuasa itu mencerminkan tekad komuniti antarabangsa untuk terus menuju ke arah akauntabiliti, pelaksanaan undang-undang serta melindungi hak asasi manusia rakyat Palestin,” katanya.

Pengarah Jabatan Media Hamas di Semenanjung Gaza, Ahmad Murra, pula berkata kumpulan pejuang berkenaan menyifatkan keputusan UNHRC itu sebagai ‘langkah ke arah yang betul.’

“Adalah penting untuk menjadikannya realiti, memastikan keadilan untuk rakyat Palestin dan mendedahkan pencabulan oleh Israel,” katanya.

Beliau berkata dalam satu kenyataan sambil merujuk kepada konflik ganas selama 11 hari di Semenanjung Gaza yang berakhir 21 Mei lalu.

Sementara itu, Agensi Anadolu yang memetik seorang pegawai Palestin, melaporkan sejumlah 187 sekolah di Gaza mengalami kerosakan akibat serangan Israel itu.