Sabah Tea Contoh Kejayaan Produk Tempatan Dilindungi Petunjuk Geografi

Sabah Tea Contoh Kejayaan Produk Tempatan Dilindungi Petunjuk Geografi

0
SHARE

RANAU: Sabah Tea menjadi antara contoh terawal kejayaan pemanfaatan instrumen harta intelek di Sabah apabila berjaya memperoleh perlindungan Petunjuk Geografi (GI) bagi melindungi identiti produk berasaskan asal usul geografi di Malaysia.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, perlindungan GI bukan sahaja membantu memperkukuh identiti produk tempatan, malah meningkatkan daya saing produk Sabah di pasaran domestik dan antarabangsa.

Menurut beliau, KPDN menerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) melaksanakan Program Jelajah Harta Intelek sebagai inisiatif mengenal pasti dan memperkasa potensi produk tempatan untuk dilindungi dan dikomersialkan secara lebih strategik sebagai aset harta intelek.

Petunjuk Geografi menjadi antara instrumen harta intelek paling strategik dalam membangunkan ekonomi berasaskan identiti, reputasi dan keunikan produk tempatan, sekali gus memposisikan produk tempatan sebagai produk premium bernilai tinggi,” katanya dalam kenyataan media di Ranau pada Sabtu.

Beliau berkata, Sabah Tea yang diusahakan Desa Tea Sdn Bhd di Ranau sejak 1973 bukan sekadar terlibat dalam penghasilan teh, malah membangunkan ekosistem perniagaan merangkumi sektor hospitaliti, pelancongan berasaskan pengalaman serta produk hiliran yang memanfaatkan identiti asal usul geografinya.

Katanya, GI turut berperanan mewujudkan kesan pengganda ekonomi kepada komuniti setempat menerusi aktiviti pelancongan dan rantaian nilai ekonomi seperti inap desa, restoran, pengangkutan serta kraftangan di kawasan pengeluaran produk.

Menurut Armizan, setakat April 2026 Malaysia merekodkan sebanyak 130 GI berdaftar dengan 31 daripadanya berasal dari Sabah, menjadikan negeri itu antara penyumbang utama kepada portfolio GI negara.

Antara produk GI Sabah yang berjaya membina identiti pasaran tersendiri termasuk Tenom Coffee, Borneo Virgin Coconut Oil, Sabah Seaweed, Tawau Cocoa, Tambunan Ginger dan Batik Sabah.

Dalam pada itu, beliau berkata KPDN menerusi MyIPO kini sedang membangunkan Sabah Intellectual Property Development Plan 2026-2030 bagi memperkukuh ekosistem harta intelek negeri melalui perlindungan IP, pembangunan penilaian IP, pembiayaan berasaskan IP serta peluasan pasaran produk tempatan melalui penjenamaan strategik Sabah.

“Pelan ini akan memberi fokus untuk mengenal pasti GI baharu termasuk produk pertanian tanah tinggi, rumpai laut dan kraftangan komuniti tempatan supaya kekayaan biodiversiti, warisan budaya dan kearifan lokal Sabah dapat diterjemahkan kepada sumber ekonomi yang memberi manfaat terus kepada rakyat,” katanya.