Mahkamah Dakwa Bekas Guru Besar Pecah Amanah Guna Duit Zakat RM75,000

Mahkamah Dakwa Bekas Guru Besar Pecah Amanah Guna Duit Zakat RM75,000

0
SHARE

SHAH ALAM, SELANGOR – Mahkamah Sesyen di sini, hari ini mendakwa seorang bekas guru besar sekolah rendah atas TIGA (3) pertuduhan menggunakan wang zakat berjumlah RM75,000 pada dua tahun lalu.

Walau bagaimanapun, tertuduh iaitu Mohamed Nor Azmi Darno, 54, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Memetik laporan Kosmo Online, mengikut ketiga-tiga pertuduhan, bapa kepada enam anak itu didakwa semasa kejadian sebagai guru besar sebuah sekolah rendah di Sungai Buloh dekat sini telah melakukan pecah amanah jenayah iaitu dengan ‘curang’ menggunakan sumbangan zakat berjumlah keseluruhan RM75,000 daripada sebuah syarikat korporat.

Wang zakat itu telah digunakan untuk kegunaan sendiri dan tidak diagihkan kepada murid asnaf sekolah itu bagi program pemberian sumbangan Hari Raya.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah bank di Saujana Utama antara 17 hingga 19 Jun 2019.

Justeru, dia yang kini ditempatkan di bahagian psikologi dan kaunseling di Jabatan Pendidikan Negeri Selangor bermula 1 Julai lalu didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara minimum 2 tahun dan tidak melebihi 20 tahun dan sebat serta denda.