Dua Ditahan, Seorang Polis Hampir Dirempuh Dalam Kes Curi Kabel TM

Dua Ditahan, Seorang Polis Hampir Dirempuh Dalam Kes Curi Kabel TM

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seorang anggota polis nyaris dirempuh ketika cuba menahan suspek dalam satu kejadian cubaan mencuri kabel Telekom Malaysia (TM) di Jalan Tuaran berhampiran Jabatan Audit awal pagi tadi.

Dalam operasi kira-kira jam 3.13 pagi itu, anggota polis bersama kakitangan Telekom Malaysia yang menjalankan rondaan mengesan dua buah kenderaan dalam keadaan mencurigakan berhampiran sebuah manhole milik syarikat telekomunikasi berkenaan.

Pemeriksaan lanjut mendapati beberapa individu sedang menjalankan kerja pemotongan kabel telekomunikasi di dalam manhole tersebut sebelum suspek bertindak melarikan diri menggunakan sebuah Toyota Hilux dan sebuah van Hiace selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, semasa cubaan meloloskan diri, pemandu Toyota Hilux dipercayai cuba merempuh anggota polis yang menghalang laluan kenderaan berkenaan sehingga membahayakan keselamatan anggota bertugas.

Pihak polis berjaya menahan sebuah Toyota Hilux selepas kenderaan itu terbabas berhampiran Jalan Likas berdekatan stesen minyak Shell Likas. Dua orang suspek berjaya ditahan manakala sebuah van Hiace berjaya melarikan diri dan kini sedang dikesan pihak polis,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, polis turut merampas satu unit alat pemotong kabel yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan jenayah tersebut.

“Hasil pemeriksaan mendapati kabel milik Telekom Malaysia telah dipotong namun belum sempat dibawa keluar dari lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau van Hiace yang melarikan diri diminta menghubungi IPD Kota Kinabalu atau pegawai penyiasat Insp. Saiful Azri Ismail di talian 014-6115879 bagi membantu siasatan.

Syed Lot berkata, pihak polis akan terus mempergiat operasi membanteras kegiatan curi kabel yang boleh menjejaskan sistem komunikasi awam serta keselamatan infrastruktur negara.