KOTA MARUDU, SABAH – Sebanyak 51 geran tanah Hakmilik Anak Negeri (NT) seluas 98 hektar telah diluluskan untuk penduduk di Bandau di sini.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata ini menunjukkan Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS-BN) sentiasa peka terhadap keperluan rakyat.
“Ini hanya untuk Bandau. Kita akan lakukan perkara yang sama untuk kawasan lain di Kota Marudu tidak lama lagi,” katanya…
Berucap pada program bertemu rakyat di Dewan Masyarakat di sini hari ini, Hajiji berkata kerajaan turut bersetuju supaya tujuh penempatan di dalam tanah Sawit Kinabalu di sini diberi hak milik dan diwartakan sebagai rizab kampung.

Kampung-kampung tersebut ialah Kampung Bukit Lalang, Bengkongan, Langkon Baru, Minansad, Sungoi Laut, Tonsom dan Muhibbah, dan Toporoi.
Pada masa sama, dua buah kampung dalam DUN Bandau turut diwartakan sebagai rezab kampung iaitu Kampung Torintidon (11.490 hektar) dan Kampung Asin-Asin (10.190 hektar).
Hajiji yang juga Menteri Kewangan berkata Kerajaan Negeri turut meluluskan peruntukan RM5 juta untuk memperluaskan jalan raya berkembar di perbandaran Kota Marudu bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Sementara itu, Kerajaan Negeri meluluskan jambatan paip sepanjang 100 meter menelan belanja RM1.6 juta di Kampung Simpangan Sungai Bandau bagi menangani masalah bekalan air di daerah itu.
Hajiji berkata demikian selepas melawat Loji Rawatan Air Bandau di Kampung Simpangan di mana beliau diberi taklimat oleh jurutera daerah mengenai rancangan jangka pendek dan panjang untuk menyelesaikan masalah bekalan air.
“Semoga prasarana itu dapat membantu menangani masalah bekalan air di sini,” katanya…
“Saya telah berbincang dengan Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili (Ahli Parlimen Kota Marudu) semalam.
“Saya memberi jaminan kepadanya bahawa semua permintaan pembangunan akan dipertimbangkan,” katanya.
Hadir sama, Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Ariffin Arif, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Adun Bandau Datuk Wetrom Bahanda, Adun Tandek Hendrus Anding, Pegawai Daerah Alexander Yong, Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur, Datuk Bernard Liew serta Pengarah Urusan Sawit Kinabalu Datuk Bacho Jansie.





