TAWAU: Seorang mekanik ditahan polis selepas dipercayai mengugut jirannya menggunakan topi keledar kerana berang dilaporkan kepada pihak berkuasa susulan tindakan membuat bising di kawasan kejiranan di Taman Ria 6, Jalan Utara, di sini, Jumaat lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Wilynton Enchana Watt berkata, pihak polis menerima laporan daripada mangsa lelaki berusia 41 tahun yang mendakwa diugut suspek selepas menegur tindakannya membuat bising di kawasan perumahan berkenaan.
Menurutnya, suspek dipercayai mengeluarkan kata-kata ancaman untuk mencederakan mangsa menggunakan topi keledar kerana tidak berpuas hati dengan laporan polis yang dibuat terhadapnya.
“Bertindak atas maklumat diterima, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya menahan suspek lelaki tempatan berusia 44 tahun kira-kira jam 11 malam pada hari sama di kawasan Taman Ria 6,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Beliau berkata, polis turut merampas sebuah topi keledar yang dipercayai digunakan ketika kejadian bagi membantu siasatan lanjut.
Katanya, semakan turut mendapati suspek mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak agresif atau mengeluarkan ancaman yang boleh mengganggu keselamatan awam kerana tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang.






