KOTA KINABALU: Rancangan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 dilihat sebagai pelan strategik penting dalam menangani isu keciciran pelajar serta memperluas peluang pembelajaran pendidikan tinggi, khususnya di Sabah yang berdepan cabaran geografi dan sosioekonomi yang kompleks.
Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, RPTM yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi dan ditegaskan oleh Zambry Abd Kadir, dirangka sebagai dokumen dasar dinamik berteraskan pendekatan whole-of-nation.
Menurut beliau, pendekatan itu amat signifikan bagi Sabah yang berdepan jurang akses pendidikan, kekangan logistik dan digital, peningkatan kos sara hidup serta keperluan sebahagian pelajar untuk bekerja lebih awal, sekali gus menyumbang kepada risiko keciciran walaupun telah menerima tawaran pengajian.
“Keadaan ini menuntut sistem pendidikan tinggi di Sabah dirangka secara lebih fleksibel dan inklusif, selari dengan realiti setempat supaya peluang pendidikan dapat dikekalkan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Beliau berkata, penekanan terhadap kemenjadian siswa dalam RPTM penting bagi memastikan pelajar dapat dikekalkan sehingga tamat pengajian, selain melahirkan graduan berdaya saing dalam pasaran kerja.
Usaha itu memerlukan sokongan menyeluruh merangkumi aspek akademik, kewangan, psikososial dan kebajikan, khususnya bagi pelajar luar bandar dan pedalaman.
Katanya, pelaksanaan Academic Bank Credits (ABC) menjadi antara mekanisme utama menangani keciciran dengan membolehkan pembelajaran lebih fleksibel merentas institusi, mod dan tempoh pengajian, tanpa menjejaskan laluan akademik pelajar.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan komitmen Kerajaan Persekutuan yang diumumkan oleh Anwar Ibrahim termasuk pengecualian yuran pengajian kepada pelajar orang kelainan upaya (OKU) serta penambahan kuota pendidikan percuma dan biasiswa PTPTN kepada keluarga miskin tegar sebagai langkah signifikan bagi Sabah.
Dr. Kasim turut menekankan kepentingan sinergi antara Politeknik, Kolej Komuniti dan UMS dalam membina laluan pendidikan berperingkat melalui pemindahan kredit, program peralihan dan pelaksanaan ABC bagi mengurangkan keciciran pelajar.
“Seiring aspirasi UMS sebagai The BRAIN of Borneo, universiti ini komited menjayakan RPTM 2026–2035 dengan pendekatan berteras Sabah agar tiada anak Sabah, termasuk golongan OKU dan keluarga miskin tegar, tercicir daripada peluang pendidikan dan pembangunan diri,” katanya.






