Polis Mohon Bantuan Orang Ramai Kesan Identiti Lelaki Maut Mengejut di Telipok...

Polis Mohon Bantuan Orang Ramai Kesan Identiti Lelaki Maut Mengejut di Telipok Ria

0
SHARE

TUARAN: Polis Daerah Tuaran sedang menjalankan siasatan berhubung kes kematian mengejut seorang lelaki yang ditemui di hadapan tangga tingkat lima Menara Tanjung Tepiok Ria, Tuaran, kira-kira jam 2.40 pagi, pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noradin Majin berkata, setakat ini identiti mangsa masih belum dikenal pasti dan tiada sebarang pengenalan diri ditemui pada mayat berkenaan.

“Pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut dan memohon bantuan orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat berkaitan mangsa agar tampil membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan media pada hari yang sama mayat mangsa ditemui.

Menurut beliau, mangsa dipercayai seorang lelaki berusia sekitar 30 hingga 40 tahun dengan ketinggian kurang daripada 165 sentimeter.

Katanya, mangsa juga mempunyai misai dan sedikit janggut, serta ditemui memakai seluar pendek berjalur kelabu, baju T-shirt hitam, kasut selipar sebelah kanan dan kesan parut pada kaki.

“Ketika ditemui, mangsa tidak memakai kasut sebelah kiri,” katanya.

Noradin berkata, bedah siasat ke atas mayat mangsa dijalankan oleh Unit Forensik Hospital Tuaran bagi mengenal pasti punca kematian.

Sehubungan itu, orang awam yang mengenali mangsa atau mempunyai sebarang maklumat diminta tampil ke Balai Polis Tuaran atau menghubungi Hotline Polis Tuaran di talian 088-794313, atau mana-mana balai polis berhampiran.