Sabah Raih Dividen Konsisten Melalui Pegangan 25 Peratus Dalam Projek SAMUR –...

Sabah Raih Dividen Konsisten Melalui Pegangan 25 Peratus Dalam Projek SAMUR – SMJE

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah terus menerima pulangan kewangan yang konsisten hasil penyertaan strategik dalam projek Sabah Ammonia Urea (SAMUR) menerusi pegangan ekuiti sebanyak 25 peratus melalui SMJ Energy Sdn Bhd.

SMJ Energy dalam satu kenyataan menegaskan bahawa dakwaan Sabah menerima pulangan yang tidak setimpal daripada projek berkenaan adalah tidak berasas dan mengabaikan kejayaan kerajaan negeri mendapatkan kepentingan dalam salah satu aset petrokimia paling penting di rantau Asia Pasifik.

Menurut kenyataan itu, penyertaan Sabah dalam PETRONAS Chemicals Fertilizer Sabah Sdn Bhd (PCFSSB), yang memiliki dan mengendalikan kompleks SAMUR, dilaksanakan menerusi Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) bersama syarikat minyak nasional, PETRONAS.

“Sejak pemeteraian CCA, Sabah terus menikmati aliran dividen yang disalurkan terus kepada hasil negeri melalui SMJ Energy demi manfaat rakyat Sabah,” menurut kenyataan itu di sini pada Isnin.

SAMUR kini diiktiraf sebagai kemudahan urea berbutir “single-train” terbesar di Asia Tenggara serta loji urea ketiga terbesar di rantau Asia Pasifik.

Projek yang dibangunkan di Sipitang menggunakan sumber gas Sabah itu turut memperkukuh kedudukan negeri sebagai pemain penting dalam industri baja dan petrokimia serantau.

SMJ Energy berkata, impak projek tersebut bukan hanya tertumpu kepada operasi loji semata-mata, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) yang berjaya menarik pelaburan besar serta membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.

Menurutnya, peluang ekonomi itu melibatkan pelbagai sektor termasuk kejuruteraan, logistik, infrastruktur, perumahan, hospitaliti dan perkhidmatan teknikal, dengan manfaat pembangunan dijangka terus berkembang dari semasa ke semasa.

SMJ Energy turut menegaskan komitmen Kerajaan Negeri Sabah untuk terus memperkukuh pelaburan strategik dan kerjasama dengan PETRONAS serta pemain industri lain bagi memastikan sumber asli negeri menjana manfaat ekonomi jangka panjang dan mampan kepada rakyat Sabah.

SHARE
Previous articlePam Air Pulihkan 400 Ekar Sawah Piasau