Lelaki Dipenjara Tiga Tahun Miliki Bakakuk, Cuai Hingga Ragut Nyawa Seorang Pemuda...

Lelaki Dipenjara Tiga Tahun Miliki Bakakuk, Cuai Hingga Ragut Nyawa Seorang Pemuda di Kota Marudu

0
SHARE

KOTA MARUDU: Seorang lelaki warga tempatan dijatuhi hukuman penjara keseluruhan tiga tahun oleh Mahkamah Majistret Kota Marudu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki senjata api buatan sendiri jenis bakakuk dan menyebabkan kematian seorang pemuda akibat kecuaian di kawasan hutan berhampiran Kampung Bambangan, di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Simiun Lomudin berkata, pihak polis menerima laporan pada petang 19 Mei lalu berhubung kejadian seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun yang ditemukan meninggal dunia akibat terkena tembakan.

Beliau berkata, susulan laporan tersebut, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Marudu menjalankan operasi dan berjaya menahan seorang suspek lelaki tempatan berusia 57 tahun.

“Turut dirampas daripada suspek ialah selaras senjata api buatan sendiri jenis bakakuk. Suspek kemudian direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Menurut beliau, hasil siasatan mendapati kes berkenaan mempunyai elemen kecuaian sehingga menyebabkan kematian mangsa sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Katanya, pada 26 Mei lalu, tertuduh Ladimin Korong @ Kalong didakwa di Mahkamah Majistret Kota Marudu di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata api tanpa lesen sah.

“Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi pertuduhan di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana cuai sehingga menyebabkan kematian mangsa.

“Tertuduh turut diarahkan membayar pampasan sebanyak RM10,000 kepada keluarga mangsa dan sekiranya gagal berbuat demikian, boleh dipenjara selama enam bulan,” katanya.

Simiun berkata, bagi kesalahan memiliki senjata api tanpa lesen di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, tertuduh dijatuhi hukuman penjara setahun.

“Hukuman bagi kesalahan memiliki senjata api itu diperintahkan berjalan secara berasingan selepas tertuduh selesai menjalani hukuman bagi kesalahan menyebabkan kematian,” katanya.