Kanak-Kanak Lelaki 11 Tahun Lemas Ketika Memancing di Kg Masankong, Kudat

Kanak-Kanak Lelaki 11 Tahun Lemas Ketika Memancing di Kg Masankong, Kudat

0
SHARE

KUDAT: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai lemas ketika menjalankan aktiviti memancing di sebuah tali air di Kampung Masankong, dekat sini, petang Khamis.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, PPgB Darikson Galanang, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 5.59 petang sebelum menggerakkan sepasukan 10 anggota ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 14 kilometer dari balai.

Menurut beliau, mangsa dilaporkan sedang memancing bersama rakannya di kawasan tali air berkenaan sebelum dipercayai tergelincir dan terjatuh ke dalam air.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi pada jam 6.23 petang, mangsa telah berjaya ditemui oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan penyelamat.

Pegawai perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi kemudiannya mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Beliau berkata, mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut dan siasatan.

Operasi yang melibatkan 10 anggota BBP Kudat dengan sebuah jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT) serta sebuah kenderaan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) itu turut dibantu lima anggota PDRM dan tiga petugas KKM.

“Orang ramai khususnya ibu bapa dinasihatkan supaya sentiasa memantau aktiviti anak-anak, terutama ketika berada berhampiran sungai, parit, tali air atau kawasan berisiko bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.12 malam selepas keadaan disahkan selamat.