Tujuh Pelajar Ditahan Bantu Siasatan Kes Tular Pukul Pelajar Perempuan

Tujuh Pelajar Ditahan Bantu Siasatan Kes Tular Pukul Pelajar Perempuan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Tujuh pelajar sekolah menengah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes memukul seorang pelajar perempuan yang videonya tular di media sosial sejak Rabu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman, berkata kesemua pelajar berusia antara 15 hingga 17 tahun itu ditahan kira-kira jam 3 petang semalam, membabitkan enam pelajar perempuan dan seorang pelajar lelaki.

Menurutnya, pelajar lelaki berkenaan dipercayai bertindak merakam keseluruhan kejadian sebelum video tersebut tersebar.

Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, polis memulakan siasatan selepas menerima laporan daripada mangsa sehari selepas kejadian.

Siasatan awal mendapati insiden berlaku kira-kira jam 8 pagi pada 22 Mei lalu apabila mangsa dipercayai dipukul menggunakan tangan oleh lima pelajar perempuan.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami lebam pada kedua-dua bahu dan kaki, lebam pada telinga kiri serta luka kecil pada lutut kiri.

Difahamkan, semua pelajar yang terlibat saling mengenali dan berhubung melalui satu kumpulan aplikasi WhatsApp dikenali sebagai “Angel”.

Kesemua pelajar yang ditahan telah dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu kertas siasatan dilengkapkan.