Dua Maut, Berpuluh-Puluh Lagi Cedera Selepas Gempa Bumi Landa Jepun

Dua Maut, Berpuluh-Puluh Lagi Cedera Selepas Gempa Bumi Landa Jepun

0
SHARE
Gempa bumi kuat menggegarkan sebahagian besar kawasan di timur Jepun semalam sehingga mencetuskan amaran tsunami...

TOKYO, JEPUN – Gempa bumi yang kuat di kawasan timur Jepun semalam mengakibatkan dua orang maut dan berpuluh-puluh lagi cedera.

Gempa berukuran 7.4 skala Richter itu juga mencetuskan amaran tsunami di beberapa kawasan berhampiran negara tersebut.

Penduduk dan pegawai-pegawai di timur laut negara itu masih menilai kerosakan yang berlaku awal pagi ini selepas gempa bumi tersebut melanda sebelum tengah malam semalam.

Amaran tsunami dengan gelombang sehingga satu meter dikeluarkan awal pagi ini selepas pihak berkuasa merekodkan paras air sehingga 30 sentimeter lebih tinggi daripada biasa di beberapa kawasan.

Gegaran kecil terus dirasai di wilayah terlibat iaitu Fukushima dan Miyagi sepanjang malam semalam hingga awal pagi ini.

Laporan awal kerosakan adalah agak kecil. Menurut pegawai, situasi juga masih normal di loji-loji nuklear.

“Kami sedang melakukan yang terbaik untuk menilai tahap kerosakan…

“Gegaran susulan besar sering berlaku beberapa hari selepas gempa pertama, jadi sila jauhi mana-mana bangunan runtuh dan tempat yang berisiko tinggi,’’ kata jurucakap kerajaan, Hirokazu Matsuno kepada pemberita.

Mangsa yang maut adalah seorang dari wilayah Fukushima dan seorang lagi dari Miyagi termasuk lebih 90 orang cedera di beberapa wilayah, demikian menurut Agensi Pengurusan Bomba dan Bencana.

“Gempa bumi itu berlaku pada kedalaman 60 kilometer dari pantai Fukushima yang didahului beberapa minit sebelum itu oleh satu lagi gegaran kuat 6.1 pada skala Richter di kawasan yang sama,’’ kata Agensi Meteorologi Jepun.

Gempa itu turut menggegarkan Tokyo termasuk kawasan-kawasan lain yang terputus bekalan elektrik. Kira-kira dua juta rumah kehilangan bekalan elektrik di Tokyo dan beberapa tempat lain sebelum dipulihkan secara berperingkat semalam.

Kira-kira 35,600 rumah di kawasan Miyagi dan Fukushima masih terputus bekalan elektrik pada pagi ini, kata firma elektrik TEPCO.